Berita

Jangan dekati haiwan peliharaan elak jangkitan

HARIMAU turut dilaporkan boleh dijangkiti Covid-19. Gambar hiasan Zoo Negara
- Diterbit 6 April 2020 12:38 PM MYT

PUTRAJAYA – Orang ramai dinasihatkan tidak mendekati haiwan peliharaan masing-masing bagi mengelakkan jangkitan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sekiranya haiwan itu dijangkiti Covid-19, ia akan memberi risiko kepada manusia.

“Ada tujuh jenis coronavirus yang boleh menjangkiti haiwan dan manusia antaranya, Sindrom Penafasan Akut Teruk (SARS), Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS-CoV) dan yang terbaharu ialah Covid-19.

“Pemilik haiwan perlu membawa haiwan peliharaan masing-masing untuk diperiksa di klinik bagi mengetahui sama ada ia dijangkiti Covid-19 atau sebaliknya,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Media melaporkan seekor harimau Malaya di Zoo Bronx, New York bernama Nadia disahkan positif Covid-19 selepas mengalami batuk dan kurang selera makan.

Sebelum ini, beberapa anjing peliharaan di Hong Kong serta seekor kucing di Belgium dilaporkan dijangkiti Covid-19 daripada pemilik mereka. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas