Berita

Himpunan gereja, majlis kahwin di Bangi bentuk dua kluster jangkitan

SETIAP pesakit perlu bersiap jujur memaklumkan sejarah kontaknya bagi membantu petugas kesihatan mengekang jangkitan Covid-19. Gambar hiasan
- Diterbit 6 April 2020 12:52 PM MYT

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan mengenal pasti terdapat dua kluster yang memberi impak besar kepada penularan Covid-19 di negara ini termasuk menyebabkan jangkitan hingga generasi kelima.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster berkenaan membabitkan persidangan keagamaan tiga hari di gereja di Kuching, Sarawak dan majljs perkahwinan di Bandar Baru Bangi, Selangor.

Bagi kluster di Kuching itu, seramai 83 individu disahkan positif Covid-19 dan dua darinya meninggal dunia manakala lima dirawat di unit rawatan rapi.

“Seramai 50 sedang dirawat di hospital, 25 pula ditempatkan di pusat kuarantin dan seorang sudah pulih sepenuhnya.

“Bagi majlis di Bandar Baru Bangi pula, ia menyebabkan jangkitan hingga generasi kelima membabitkan 88 individu telah disahkan positif.

“Namun tiada kematian direkodkan dari kluster ini dan hanya satu kes dirawat di unit rawatan rapi,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, susulan itu, keputusan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac lalu adalah tepat.

“Setiap individu perlu memainkan peranan masing-masing untuk membantu kerajaan memastikan usaha mengekang penularan jangkitan Covid-19 berjaya,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan jangkitan Covid-18 sudah mula merebak dalam kalangan komuniti.

Katanya, kes pertama dikesan di Kuantan, Pahang membabitkan seorang individu yang mempunyai kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI).

“Kes di Kuantan, dia tiada sejarah. Dia ada penyakit SARI dan apabila kita saring, dia positif. Apabila kita lihat semula sejarah, beliau hadir ke perhimpunan di Seri Petaling. Sekarang ada kes SARI pun positif,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas