Berita

‘Jangan celebrate terlalu awal’ – Annuar

KEADAANgerai yang lebih tersusun memberikan keselesaan kepada orang ramai membeli di Bazaria Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
- Diterbit 1 Mei 2020 10:20 AM MYT

PUTRAJAYA – Rakyat Malaysia khususnya warga kota diseru untuk tidak meraikan kejayaan negara dalam mengekang penularan Covid-19 terlalu awal berikutan vaksin wabak itu masih belum ditemui.

ANNUAR

Ini kerana, tegas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa, rakyat perlu terus berhati-hati kerana vaksin yang paling mustajab adalah mengamalkan kebersihan dan penjarakan sosial yang berterusan agar ia menjadi sebahagian ‘way of life’.

 

“Kita sebagai satu kementerian yang menguruskan perbandaran baik Putrajaya, Labuan dan Kuala Lumpur dituntut untuk memperkenalkan SOP (prosedur operasi standard) yang lebih terperinci bagaimana menguruskan pawagam, kompleks beli belah, restoran, penjaja dan menguruskan kebersihan di tempat awam.

“Kita juga sebagai satu organisasi perlu mengambil iktibar daripada perkara ini dan ke arah ‘new normal’ dalam meneruskan usaha mengekang wabak ini. Kita harap buadaya itu menjadi satu amalan, kukuhkan iltizam untuk sifarkan kembali,” katanya.

Mengulas tentang SOP, jelas Annuar, pada masa ini hanya perlu sedikit penambahbaikkan dan kerajaan mengesyorkan supaya terdapat garis panduan di setiap peringkat yang mana ia dizahirkan oleh individu sendiri.

Jelas beliau, sebagai contoh, pengguna transit aliran ringan (LRT) sepatutnya mengamalkan penjarakan sosial dan mengelakkan diri dari menaiki gerabak yang penuh.

“Kita perlu jadi polis terhadap diri kita sendiri atau komuniti sebab kita telah pun melalui satu tempoh (Perintah Kawalan Pergerakan) dan di tahap keempat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Annuar turut menyatakan manifestasi yang sangat bermakna bagi Malaysia adalah kerajaan dan rakyat berganding bahu dalam mengekang penularan wabak Covid-19 berikutan mendapat pengiktirafan dunia dalam aspek pengurusan individu yang dikesan positif.

Beliau berkata, pengiktirafan itu juga menyebabkan beberapa negara mahu menghantar pesakit mereka menjalani rawatan di sini di samping mempelajari bagaimana Malaysia menguruskan pesakit.

“Prestasi kita dalam menguruskan Covid ini adalah yang terbaik dan itu diiktiraf masyarakat antarabangsa, bermakna pengorbanan kita sangat berbaloi dan ia membuktikan ketahanan nasional dalam mengatasi situasi berkenaan.

“Kedua, membuktikan kejayaan pihak kerajaan sendiri yang berani, tegas dan tepat terutama Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) yang memantau perkara ini secara dekat sendiri.

“Sekali gus menangani impak secara keseluruhan terutama dalam ekonomi dan yang terpenting usaha kerajaan membuahkan hasil yang terbaik,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas