Berita

70 gelandangan di PSG Alam Damai diserahkan kepada Imigresen

GELANDANGAN warga asing beratur sebelum menaiki lori Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya. Gambar DBKL
- Diterbit 1 Mei 2020 7:47 AM MYT

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyerahkan seramai 70 gelandangan warga asing yang sebelum ini  diletakkan di Penempatan Sementara Gelandangan (PSG) Alam Damai, Cheras kepada pihak Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya.

Serentak dengan langkah tersebut, PSG Alam Damai ditutup buat sementara waktu sehingga mendapat arahan lanjut.

DBKL dalam kenyataannya berkata, tindakan penyerahan ini dilaksanakan semalam setelah mendapat nasihat dan keputusan kesihatan daripada Kementerian Kesihatan.

“Pihak pengurusan Pusat Pengurusan Krisis (CMC) memutuskan supaya penghuni PSG Alam Damai yang bukan warganegara diserahkan kepada Jabatan Imigresen,” katanya.

GELANDANGAN warga asing yang ditempatkan di PSG Alam Damai diserahkan kepada Imigresen. 

PSG Alam Damai telah dibuka pada 30 Mac lalu untuk menempatkan gelandangan warga asing sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan.

Kenyataan itu berkata, keputusan saringan Covid-19 ke atas semua gelandangan itu negatif dan tahap kesihatan mereka adalah sihat.  – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas