Berita

‘Hanya Allah yang membalas’ – Annuar

- Diterbit 1 Mei 2020 1:13 PM MYT

PUTRAJAYA – “Hanya Allah sahaja yang membalas apa yang mereka (petugas barisan hadapan) lakukan,” ucap Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa sempena Sambutan Hari Pekerja hari ini.

Malah, ujar beliau, Limpahan Lampu Biru atau #LightItBlue yang dilakukan Kementerian Wilayah Persekutuan di semua bangunan ikonik dan jalan protokol negeri bermula pukul 10 malam semalam hanya satu usaha kecil dalam menghargai jasa dan pengorbanan golongan terbabit.

“Wilayah Persekutuan adalah tempat paling banyak berlaku kes, zon merah dan jumlah pesakit kita paling banyak. Sewajarnya apa yang kita lakukan ini sebagai tanda terima kasih.

“Sempena Hari Pekerja yang mana merupakan hari bagaimana negara dan dunia mengiktiraf sumbangan pekerja, maka kali ini segmen frontliners yang bukan hanya terbatas pada warga perubatan di hospital, jururawat, doktor, medik dan pembantu hospital.

“Tetapi dalam ruang lingkup yang lebih besar termasuk polis, Rela, tentera, PBT (pihak berkuasa tempatan) dan ramai lagi termasuk sukarelawan dan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang banyak bekerjasama dengan kita yang berada di saf hadapan. Kepada mereka kita ucapkan setinggi-tinggi penghargaan,” ucapnya.

Tambah Annuar, pengorbanan pasukan berkenaan amat besar terutama dalam bulan Ramadan dan diharapkan perjuangan serta sumbangan usaha berterusan walaupun pada skala berbeza.

Beliau turut mendoakan supaya golongan terbabit juga mendapat keberkatan Ramadan, selamat, sejahtera dan tidak terkesan atau terjangkit dengan wabak ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas