Artikel

Jangan ambil hak orang miskin

PPR merupakan kemudahan diberikan kepada golongan miskin untuk mendapatkan rumah yang dapat disewa dengan kadar lebih murah. - Gambar hiasan
- Diterbit 6 Mac 2020 9:03 AM MYT

Minggu ini Wilayahku memaparkan tindakan tegas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberikan notis peringatan kepada penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang culas membayar sewa hingga mempunyai tunggakan mencecah belasan ribu ringgit.

Apa yang mengejutkan apabila tindakan tersebut dijalankan, ada penyewa yang mampu terus membayar secara tunai hingga ribuan ringgit kerana bimbang risiko diusir. Ini maksudnya mereka sebenarnya golongan berduit.

Selama ini mereka bersikap buat tidak tahu sahaja hingga tunggakan sewa bertimbun. Tidak dinafikan kemungkinan ada penyewa yang pada asalnya hidup susah.
Namun setelah berusaha sama ada berniaga atau mendapat pekerjaan yang lebih bagus, mereka dapat hidup lebih selesa.

Persoalannya mengapa tidak bayar sewa hinggakan ada yang gagal melunaskan bayaran sewa selama 10 tahun? Sedangkan sewa bulanan PPR cuma sebanyak RM124.
Dalam masa sama ada penyewa yang culas itu mampu pula membeli pelbagai peralatan rumah yang mahal.

Sekiranya sudah mempunyai kemampuan dan melepasi garis kemiskinan maka sewajar golongan penyewa itu melepaskan unit berkenaan untuk pemohon yang lebih layak untuk mendudukinya.
Ingatlah ada kira-kira 25,000 senarai pemohon yang sedang menunggu bagi mendapatkan kemudahan PPR. Mereka semuanya layak tetapi memandangkan tiada kekosongan, golongan itu terpaksa menanti dan menyewa rumah dengan kadar bayaran lebih tinggi.

Bayangkan jumlah tunggakan sewa PPR/PA sudah mencecah RM50 juta.  Jumlah tersebut sebenarnya mampu untuk DBKL memberikan lebih banyak kemudahan kepada masyarakat di PPR seperti mengindahkan kawasan perumahan tersebut dan menyediakan proses penyelenggaraan yang lebih baik.

Apa yang lebih utama ialah janganlah kerana sikap mementingkan diri, kita sanggup mengambil hak golongan miskin yang lebih memerlukan.

Bagi penyewa yang benar-benar hidup susah termasuk golongan OKU, pihak terbabit boleh membantu untuk mereka mendapatkan bantuan seperti dari pusat zakat atau Jabatan Kebajikan Masyarakat serta NGO yang prihatin.

Namun mereka juga mesti mengamalkan pengurusan kewangan yang lebih tersusun. Melunaskan bayaran sewa mesti jadi keutamaan selain barangan keperluan harian.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas