Artikel

Legasi Harun Hashim perangi rasuah

Gambar hiasan
- Diterbit 7 Mac 2020 7:35 AM MYT

Masyarakat secara umumnya mengenali Allahyarham Tan Sri Harun Hashim (31 Mei 1929 – 30 September 2003) sebagai hakim yang telah mengharamkan UMNO pada tahun 1988.

Namun legasi Harun Hashim adalah lebih besar daripada isu tersebut. Beliau lebih wajar diingati kerana dua legasi terbesar beliau karisma sebagai hakim yang sangat berintegriti dan perjuangan beliau menentang rasuah.

Legasi anti rasuah Harun Hashim tidaklah menghairankan kerana beliau merupakan pengarah ‘SPRM’ pertama, sewaktu itu dikenali sebagai Biro Siasatan Negara (BSN) bermula tahun 1967.

Sewaktu menjadi pengarah BSN, Harun Hashim baru berusia 38 tahun. BSN ditubuhkan khas untuk memenuhi hasrat Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang menzahirkan keprihatinan beliau bahawa banyak negara-negara Asia pada ketika itu terbelenggu dengan masalah korupsi.

Tunku memanggil Harun Hashim dan meluahkan hasratnya untuk melihat agar masalah korupsi yang berlaku di negara Asia lain tidak berlaku di Malaysia.

Harun Hashim memulakan tugas sebagai pengarah BSN pada 11 Ogos 1967, tanpa berdasarkan apa-apa peruntukan undang-undang kerana BSN hanyalah aturan pentadbiran semata-mata.

Beliau ketika itu merupakan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) di Jabatan Peguam Negara dan sebagai Pengarah BSN, beliau masih memegang jawatan TPR ketika itu.

Sepanjang bertugas sebagai pengarah BSN, beliau tidak pernah menghadapi sebarang campur tangan dari pihak eksekutif.

Pernah berlaku kes seorang ahli politik dari parti pemerintah ditangkap atas pertuduhan rasuah, para penyokong mereka pergi berjumpa Tunku dan meminta Tunku untuk campur tangan.

Apabila mengetahui penangkapan dan pendakwaan itu dilakukan oleh BSN, Tunku menegaskan beliau tidak boleh campur tangan. Apa yang boleh beliau dilakukan hanyalah mengesyorkan kawan baiknya yang merupakan seorang peguam untuk membela tertuduh di mahkamah.

Sebagai TPR, Harun Hashim merupakan satu-satunya autoriti penentu untuk mendakwa sesiapa jua di dalam kes-kes korupsi tanpa perlu merujuk kepada Peguam Negara pada ketika itu iaitu Tan Sri Abdul Kadir Yusof (1963 – 1977) yang juga merupakan seorang Menteri Kabinet.

Tidak pernah walau sekali Peguam Negara bertanya kepada Harun Hashim mengenai apa-apa kes korupsi.

Autoriti

Harun Hashim juga mempunyai akses secara langsung dengan Menteri Kewangan ketika itu, Tun Tan Siew Sin (1959 – 1974) untuk peruntukan belanjawan bagi tujuan operasi BSN.

Beliau memberikan peruntukan tersebut tanpa banyak soal. Harun Hashim turut diberikan autoriti untuk memilih mana-mana kakitangan kerajaan untuk bekerja di BSN tanpa sebarang masalah.

Di dalam menubuhkan BSN, kerajaan pada ketika itu tidak mahu kanser rasuah ini merebak dan menjadi budaya hidup masyarakat. Dengan political will melalui kata-kata dan tindakan, tugas Harun Hashim menjadi mudah.

Dalam tempoh yang singkat kira-kira empat tahun, BSN menjadi satu entiti yang sangat digeruni oleh para kakitangan kerajaan, politikus dan ahli perniagaan. Harun Hashim menjadi pengarah BSN selama empat tahun sebelum dilantik menjadi hakim Mahkamah Tinggi pada tahun 1971 di usia baru mencecah 42 tahun.

Pernah satu ketika sewaktu era reformasi yang menyaksikan kebebasan kehakiman dipertikaikan ekoran isu-isu yang menyelubungi pendakwaan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim, wujud dakwaan bahawa hakim-hakim juga boleh dipengaruhi.

Sesuatu yang lucu apabila media pernah menemubual Harun Hashim mengenai dakwaan tersebut. Harun Hashim yang sudah bersara sebagai Hakim Mahkamah Agung pada ketika itu dengan jelas menjawab beliau tidak pernah diganggu atau ditekan untuk membuat sebarang keputusan berkenaan kes-kes yang didengarnya.

Sejarah sudah membuktikan, kalau orang itu bersih, sampai berpuluh malah beratus tahun sekalipun, orang akan menyebut mengenai ketelusan dan integritinya.

Banyak pengajaran yang boleh kita pelajari daripada pengalaman Tan Sri Harun Hashim.

Dr. Mohamed Hadi Abd Hamid merupakan ketua jabatan Syariah di salah sebuah institusi kewangan Islam di ibu kota.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas