Artikel

Jangan jadi rumah siap, pahat berbunyi

- Diterbit 22 Februari 2020 5:37 AM MYT

DRAF Pelan Struktur Kuala Lumpur (PSKL) 2040 yang mengariskan pembangunan ibu kota kini dipamerkan kepada orang awam mulai 18 Februari lalu.

Segala pandangan sama ada bantahan atau idea boleh dikemukakan dalam tempoh sebulan sehingga 18 Mac ini.

Pandangan dan maklum balas tersebut amat penting bagi memastikan rupa bentuk dan wajah Kuala Lumpur dalam tempoh masa 20 tahun lagi benar-benar menepati cita rasa warga kota.

Kawasan urban seluas 243 kilometer persegi (km2) menghadapi pelbagai cabaran masa akan datang terutamanya dari segi sistem pengangkutan awam yang berkesan.

Cabaran besar yang dihadapi menjelang 20 tahun lagi ialah Kuala Lumpur bakal menjadi bandar dengan penduduk menua.

Perangkaan mengunjurkan penduduk berusia 65 tahun meningkat kepada 17.3 peratus. Keadaan itu pastinya menuntut kepada kemudahan kesihatan dan infrastruktur mesra warga emas.

Ini bagi memastikan golongan tersebut tidak dipinggirkan daripada arus pembangunan dan dapat hidup sejahtera serta selesa.

Malah sejajar dengan penekanan yang diberikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan UN-Habitat, bandar raya harus menjadi pemain utama kepada proses pembangunan mapan.

Pembangunan bandar raya kini tidak tertumpu lagi soal pembangunan bangunan pencakar langit atau gedung membeli-belah mega.

Sebaliknya bagaimana bandar raya ini boleh menjadi habitat atau tempat tinggal semua golongan- kaya atau miskin, tua atau muda. Tiada ada golongan yang dipinggirkan.

Sejajar dengan PSKL 2040, Kuala Lumpur pada masa akan datang perlu menjadi bandar raya yang selesa dihuni semua peringkat golongan.

Sesuai dengan visi menjadikan Kuala Lumpur, Bandar Untuk Semua. Oleh itu, orang ramai perlu memberikan maklum balas kepada draf PSKL 2040 sebelum ia diwartakan.

Janganlah selepas ia diwartakan baru ada pihak mengkritik dan buat bising. Nyatakan tidak puas hati dan sebagainya. Janganlah jadi seperti kata pepatah lepas rumah siap, pahat berbunyi.

Menjadi tangunggjawab pihak berwajib pula untuk mematuhi pelan yang diwartakan itu.

Pelanggaran terhadap pelan tersebut boleh menyebabkan kecelaruan berlaku dalam pembangunan Kuala Lumpur.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas