Berita

Jalan Masjid India, lokasi baharu Covid-19

TAN SRI ANNUAR MUSA
- Diterbit 29 Mac 2020 10:45 AM MYT

KUALA LUMPUR – Kawasan di sekitar Jalan Masjid India di sini merupakan antara satu lagi lokasi terbaru menunjukkan peningkatan jangkitan Covid-19 yang perlu diberi perhatian serius.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, laporan terkini semakin banyak kawasan di Wilayah Persekutuan menunjukkan trend pertambahan jangkitan.

“Bukan sekadar Masjid Seri Petaling, sudah ada beberapa kawasan zon merah dan kuning. Kawasan itu bukan lagi hanya di Lembah Pantai atau Titiwangsa Malah di Kepong.

“Kawasan terbaru, di tengah bandar Kuala Lumpur di sekitar Jalan Masjid India, ada kes-kes yang terpaksa diberi perhatian serius,” katanya dalam sidang akhbar secara live melalui Facebook beliau hari ini.

Ia juga disiarkan secara langsung melalui Facebook Kementerian Wilayah Persekutuan dan Wilayahku.

Annuar melahirkan kebimbangannya, sekiranya berlaku kecuaian, lonjakan jangkitan mungkin boleh berlaku memandangkan penduduk ibu kota ramai tinggal di kawasan flat, kondominium dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang mempunyai kepadatan tinggi.

“Kita berharap dan berdoa kepada Allah agar outbreak sebegitu tidak berlaku,” katanya.

Setakat ini, kata beliau, paling tinggi berlaku jangkitan ialah di sekitar Masjid Seri Petaling dan trend peningkatan juga berlaku di Kampung Baru dan kawasan kediamannya sendiri di Bukit Damansara dan ada lagi beberapa tempat.

Jelas beliau, walaupun bersyukur kerana keadaan negara ini masih terkawal dari segi angka kes jangkitan dan kematian berbanding negara lain, trend berlaku sekarang menunjukkan peningkatan kes.

Katanya, sebagaimana yang dikatakan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, tsunami jangkitan boleh berlaku sekiranya tiada tindakan serius termasuk dari kalangan orang ramai.

“Misalnya ramai dalam kalangan kita pergi bercuti ke luar negara, angkanya sampai ribuan dan kalau yang balik tidak amal langkah-langkah yang diperakukan mereka boleh sebabkan berlaku lonjakan jumlah jangkitan besar dalam masa pendek,” katanya.

Annuar berkata, apa yang mengkhuatirkan pihaknya ialah tumpuan penduduk dan aktiviti adalah berpusat di Kuala Lumpur.

“Sebab itulah saya mengambil langkah dan usahakan selagi mana ada dalam kemampuan kita agar keadaan di Wilayah Persekutuan khususnya di Kuala Lumpur dapat benar-benar kita kawal dengan sebaik mungkin,” katanya. WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas