Berita

Jalaluddin ajak makan angin di Putrajaya

SUASANA waktu malam di Putrajaya yang dilimpahi dengan cahaya lampu bewarna-warni mengikut tema.
- Diterbit 20 September 2021 9:03 AM MYT

SETELAH kerajaan mengumumkan Peralihan dari Fasa 1 ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang membenarkan sempadan antara Kuala Lumpur dan Selangor dibuka sepenuhnya, tempat-tempat tumpuan pelancong kembali diserbu warga Lembah Klang yang mencari kawasan untuk beriadah dan melakukan aktiviti bersama keluarga.

Dalam hantaran di laman Facebook, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias turut mengajak orang ramai untuk mengunjungi Putrajaya memandangkan kawasan tersebut mempunyai tempat menarik untuk dilawati.

Katanya, terdapat beberapa warganet yang menghantar pesanan ringkas di laman Facebooknya kerana buntu untuk mencari tempat menarik di Wilayah Persekutuan.

“Ada yang mesej saya kerana buntu hendak mencari tempat menarik untuk makan angin,

“Saya kata, di Wilayah Persekutuan pun ada tempat-tempat yang best yang boleh kita lawati,” katanya pada Ahad.

Jalaluddin turut berkongsi beberapa keping gambar jambatan dan bangunan ikonik Putrajaya pada waktu malam yang dilimpahi cahaya lampu berwarna-warni mengikut tema tertentu.

“Memang menarik dan mempersona mata memandang,” kongsinya.

Kata Jalaluddin lagi, meskipun Putrajaya dikenali sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan namun ia mempunyai tarikan tersendiri yang mampu menarik minat pelancong tidak kira dalam mahupun luar negara.

“Saya syorkan penduduk Lembah Klang turun dan bersantailah di Putrajaya. Jangan kata saya tak payung,” katanya. – WILAYAHKU – HAZIRAH HALIM

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas