Berita

Fahami istilah liquor memabukkan, elak salah faham – Jalaluddin

- Diterbit 4 November 2021 3:32 AM MYT

ORANG awam termasuk ahli parlimen pembangkang yang mempersoalkan penguatkuasaan larangan penjualan arak di Kuala Lumpur perlu memahami istilah liquor memabukkan terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kritikan atau provokasi.

Ini kerana, tegas Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, pemahaman terhadap isu berkenaan serta jenis liquor yang dilarang adalah penting dan perlu diteliti sebaiknya sekali gus mengelak berlakunya salah faham.

“Pertama, (teliti) minuman keras yang mendapat kelulusan atau kebenaran dari Kementerian Kesihatan (KKM) dan kedua adalah minuman keras yang tidak dibenarkan.

“Minuman keras yang tidak ada kebenaran KKM sama sekali tidak boleh dijual di mana-mana premis yang berada dalam kawasan Kuala Lumpur dan hanya minuman yang ada lesen KKM boleh dijual (termasuk) di kedai-kedai perubatan Cina. Ini sudah berlaku sejak sekian lama,” jelasnya dalam sidang akhbar selepas sesi turun padang ke kawasan Parlimen Cheras, Kuala Lumpur, semalam.

DALAM sesi turun padang, Jalaluddin (tengah) turut melawat gerai-gerai di Flat Miharja, Cheras, semalam.

Beliau berkata demikian susulan tindakan tujuh ahli parlimen pembangkang mengeluarkan kenyataan dan mendakwa kerajaan khususnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenakan sekatan kepada pengambilan dan juga penjualan minuman keras kepada masyarakat bukan Islam.

Mengulas lanjut, Jalaluddin berkata, DBKL hanya melakukan penguatkuasaan dan tidak pernah melarang penjualan minuman keras seperti dakwaan pihak tidak bertanggungjawab itu, ia sebaliknya melibatkan arak yang tidak mendapat lesen KKM.

“Apa yang lebih malang apabila ahli-ahli parlimen pembangkang menggunakan isu tersebut untuk mengatakan bahawa kerajaan tidak memberikan pertimbangan dalam soal hak yang berkaitan dengan orang bukan Islam seperti kaum Cina dan India.

“Saya nak jelaskan ini tidak betul. Kerana DBKL tidak pun melarang dalam mendapatkan lesen penjualan minuman keras.

“Apa yang kita lakukan adalah penguatkuasaan untuk semua pelesen-pelesen mengikut syarat yang ditetapkan DBKL,” ujarnya yang menegaskan penguatkuasaan adalah berkaitan liquor yang memabukkan.

Terdahulu, penguatkuasaan Garis Panduan dan Syarat-Syarat Permohonan Lesen Minuman Keras (Liquor Yang Memabukkan) dilakukan di Kuala Lumpur bermula Isnin selepas DBKL mendengar pandangan serta keprihatinan pihak terlibat termasuk ahli Parlimen berhubung isu berkenaan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas