Berita

Jadikan Sambutan Hari Malaysia lambang penyatuan rakyat berbilang kaum

SIMSUDIN (duduk) ketika melakukan ujian kesihatan pada Program Semarak Gemilang di Balai Raya Kampung Pantai.
- Diterbit 15 September 2023 4:00 AM MYT

SEMUA pihak termasuk masyarakat di pulau ini diseru menjadikan Sambutan Hari Malaysia sebagai lambang penyatuan rakyat yang berbilang kaum di negara ini.

Pengerusi Perbadanan Labuan, Tan Sri Senator Anifah Aman berkata sambutan itu menjadi lambang penyatuan rakyat yang terus melangkah ke hadapan berpandukan enam teras Malaysia MADANI iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan.

Beliau berkata Sambutan Hari Malaysia merupakan tarikh keramat kepada semua rakyat dengan peristiwa penting di mana berlakunya pembentukan, pengisytiharan penubuhan Malaysia menjadi sebuah negara baharu.

“Marilah kita semua menjadi warga Malaysia yang hidup dengan bertunjangkan sikap saling menghormati, meraikan kepelbagaian dan menjadi medan dialog peradaban.

“Jadikan Kerangka Malaysia MADANI sebagai pemacu kewujudan masyarakat maju dan bertamadun berdasarkan ilmu pengetahuan, tradisi, khazanah dan kearifan tempatan,” kata beliau.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Semarak Gemilang di Balai Raya Kampung Pantai, baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalannya, Simsudin Sidek. Hadir sama Pengarah Jabatan Penerangan Labuan, Azman Sipan, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Zon Labuan, Roslee Matusin.

Dalam pada itu, Anifah menyeru masyarakat membudayakan amalan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai salah satu instrumen yang mampu mencerminkan tanda kasih sayang dan penghormatan generasi terdahulu yang berjuang mencapai sebuah kemerdekaan.

“Kita juga boleh menzahirkan rasa syukur dan bangga dengan pembentukan atau penubuhan Malaysia dengan terus mengibarkan Jalur Gemilang di mana sahaja tempat yang bersesuaian sepanjang masa walaupun bukan dalam Bulan Kebangsaan.

“Jalur Gemilang juga melambangkan kecemerlangan negara dan rakyat Malaysia dalam mengharungi suasana kehidupan dengan penuh gigih, taat dan bersatu padu bagi menjaga nama dan menaikkan imej negara,” kata beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas