Young STEMist Expo 2023 pupuk masyarakat saintifik
DURASAD (tengah) mendengar taklimat yang disampaikan oleh salah seorang murid berkenaan bidang STEM.

Young STEMist Expo 2023 pupuk masyarakat saintifik

SERAMAI 200 murid menyertai Program Young STEMist Expo (YSE) 2023 peringkat kebangsaan di Sekolah Kebangsaan Lubok Temiang (SKLT), Labuan, baru-baru ini.

Program yang merupakan salah satu aktiviti kokurikulum akademik tersebut melibatkan penyertaan murid dan juga komuniti dalam bidang Sains Teknologi Engineering dan Matematik (STEM).

Menurut Ketua Penolong Pengarah TVET Jabatan Pendidikan Labuan, Ebby Heryani Rahmat, ia bertujuan untuk menarik minat terhadap mata pelajaran STEM.

“Ia turut memupuk masyarakat yang saintifik selaras dengan perkembangan Revolusi Perindustrian 4.0 selain memberi kesedaran kepada murid, guru dan masyarakat kepentingan STEM sebagai elemen dalam kehidupan.

“Diharapkan juga ia dapat memberi impak, ilmu dan pengalaman yang berharga tentang kemahiran dan elemen-elemen dalam bidang STEM,” ujar beliau kepada pemberita ketika Program Young STEMist Expo (YSE) 2023.

Sementara itu, Guru Besar SKLT, Durasad Edris bangga sekolah tersebut tersenarai di antara empat buah sekolah di Labuan yang menyertai YSE pada tahun ini.

“Terima kasih kepada semua guru, murid, peserta program dan semua pihak yang terlibat bagi menjayakan program ini. Banyak ilmu dan pengalaman baru diperolehi daripada pameran yang diadakan,” ujar beliau.

Terdahulu, enam buah sekolah terlibat adalah SK Sungai Bedaun, SMK Lajau, SK Tanjung Aru, SMA MAIWP dan SK Kerupang selain penganjur program, SK Lubok Temiang. – WILAYAHKU

Share This