Berita

Jackie Wong stabil, bapa bertambah baik

- Diterbit 19 Mac 2020 2:43 AM MYT

KUALA LUMPUR – Atlet baling tukul besi negara, Jackie Wong yang kini dikuarantin di Hospital Sibu, Sarawak kerana disahkan positif Covid-19 dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Perkara itu dimaklumkan atlet berkenaan menerusi status terkini yang dimuat naik menerusi laman Facebooknya.

“Kepada rakan-rakan yang saya kasihi sekalian, pada 16 Mac (Isnin) jam 1 pagi, saya disahkan positif Covid-19 iaitu sehari selepas ayah saya disahkan positif.

“Dengan ini, saya sedang dikuarantin di Hospital Sibu bagi pemantauan dan rawatan selanjutnya. Setakat ini, saya berada dalam keadaan yang stabil dan sihat,” kata pemegang rekod kebangsaan acara baling tukul besi lelaki dengan jarak balingan sejauh 68.22 meter (m) itu.

Dalam pada itu, Jackie turut memaklumkan tahap kesihatan bapanya, Wong Ling Biu Andrew turut bertambah baik.

“Mengenai ayah saya, keadaan beliau pada hari ini lebih baik berbanding beberapa hari lepas meskipun masih menggunakan alat bantuan pernafasan.

“Teruskan doa anda untuk ayah saya dan ahli-ahli keluarga saya,” kata pemegang rekod kebangsaan acara baling tukul besi lelaki dengan jarak balingan sejauh 68.22 meter (m) itu.

Dia yang muncul atlet pertama negara positif Covid-19 turut menegur semua pihak agar jangan mengeluarkan atau berkongsi berita palsu yang belum disahkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

“Anda amat dihargai!,” katanya.

Untuk rekod, Jackie adalah pemegang rekod kebangsaan acara baling tukul besi lelaki dengan jarak balingan sejauh 68.22 meter (m) dan pemenang pingat perak acara berkenaan di temasya Sukan SEA Filipina 2019.

Ketika temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Jackie memenangi pingat emas. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas