Berita

Covid-19: Tolonglah, duduk diam di rumah – PM

TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN
- Diterbit 18 Mac 2020 4:23 PM MYT

PUTRAJAYA – Keengganan orang ramai mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan selama dua minggu bermula hari ini, akan menyukarkan kerajaan membendung penularan wabak Covid-19.

Justeru, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru supaya rakyat di negara ini berada di rumah sahaja dan tidak melakukan perjalanan rentas negeri bagi menjayakan arahan yang ditetapkan kerajaan.

Beliau berkata, tujuan sebenar Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, bukan untuk orang ramai balik ke kampung, memenuhi jemputan kenduri, membeli belah di pasar raya, bersiar-siar di taman atau bercuti di tempat peranginan sebaliknya untuk membendung wabak Covid-19 di negara ini.

“Stay at home and protect yourself and your family. Saya sebutkan perkara ini kerana semalam ramai yang balik ke kampung. Lebuh raya sesak dengan kenderaan menuju ke arah utara, selatan dan timur. Stesen bas juga sesak dengan orang ramai yang ingin pulang ke kampung.

“Saya ingin merayu kepada saudara-saudari. Tolonglah. Stay put where. Yang ada di Kuala Lumpur, duduklah di Kuala Lumpur. Yang ada di Johor Bahru duduklah di Johor Bahru. Yang ada di Pulau Pinang, duduklah di Pulau Pinang.

“Kalau anda merancang untuk pulang ke kampung, batalkanlah dahulu niat itu. Saya minta tolong untuk tempoh dua minggu ini sahaja,” katanya dalam Perutusan Khas Covid-19, sebentar tadi.

Perdana Menteri menegaskan, tempoh dua minggu pematuhan arahan itu penting bagi membolehkan pihak berkuasa memutuskan rangkaian penularan wabak yang semakin serius di negara ini.

“Kenapa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini selama dua minggu? Ini kerana Covid-19 mempunyai hayat inkubasi (incubation) dua minggu.

“Terdapat kes yang mana simptom hanya muncul selepas itu. Kerajaan berharap selepas habis tempoh dua minggu, mereka yang mempunyai simptom berjaya diasingkan untuk diberikan rawatan, menjadikan Malaysia bebas daripada Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin menyatakan, jika dalam tempoh tersebut negara belum berjaya sepenuhnya menangani penularan wabak itu, kerajaan mungkin terpaksa melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas