Berita

Warga Labuan, atlet terima manfaat Inisiatif Wilayah Cakna 4.0

WARGA Labuan terima manfaat IWC 4.0. MERCU tanda tumpuan pelancong yang datang ke Labuan.
- Diterbit 31 Oktober 2020 7:04 AM MYT

SEJAJAR konsep Wilayah Prihatin, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) memperuntukkan sejumlah RM3.01 juta khusus untuk membantu golongan B40 di Labuan, gelandangan, atlet dan jurulatih.

Peruntukan menerusi Inisiatif Wilayah Cakna 4.0 (IWC 4.0) yang bermula Oktober hingga 31 Disember ini sekali gus membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap golongan terjejas dengan COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menterinya, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, daripada jumlah itu, 772 penjaja dan peniaga kecil berlesen di Labuan dikecualikan bayaran sewa premis niaga milik Perbadanan Labuan.

Ujarnya, turut terlibat adalah 468 orang peniaga kecil dan peniaga pasar awam milik agensi berkenaan yang mana mereka dikecualikan bayaran pembaharuan lesen perniagaan bagi tempoh tiga bulan bermula Oktober.

“Penyewa perumahan awam milik PL juga dikecualikan bayaran sewa perumahan bagi tempoh tiga bulan bermula Oktober ini sekali gus memberi manfaat kepada 617 penyewa.

“Manakala 108 pemilik tanah milik PL diberi diskaun sebanyak 30 peratus untuk kadar bulanan pajakan tanah. Ia melibatkan 85 syarikat.

“Baucar bantuan (one-off) buku latihan sekolah bernilai RM100 Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) akan diberikan kepada 2,000 pelajar sekolah daripada keluarga miskin di Labuan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Annuar, bayaran diskaun kompaun turut diberikan pada kadar tetap RM15 sepanjang tempoh PKPB sehingga 31 Disember khusus kepada warga pulau bebas cukai itu.

Selain itu, katanya, sumbangan (one-off) sebanyak RM3,000 diberikan kepada enam Zon dan Sub Zon Majlis Perwakilan Penduduk Labuan bagi membolehkan program pencegahan COVID-19 dalam kalangan komuniti dilaksanakan.

“Program nyah kuman merangkumi aktiviti disinfeksi serta pembersihan menyeluruh di semua kawasan kemudahan awam Labuan juga dilaksanakan secara berterusan bagi membendung penularan wabak COVID-19,” ujarnya.

Dalam pada itu, Annuar memberitahu, selain bantuan kepada warga Labuan, Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) juga meneruskan pemberian elaun latihan kepada 700 atlet dan 103 jurulatih SUKMA Wilayah Persekutuan.

Tambah beliau, kira-kira 300 golongan gelandangan tidak terkecuali daripada menerima insentif khas yang diberikan kerajaan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas