Berita

Romantisnya MUNA SHAHIRAH dan ZACK ZAKWAN Dalam Lagu Bagaimana

|MUNA Shahirah dan Zack Zakwan gandingan menarik dalam lagu Bagaimana
- Diterbit 30 Oktober 2020 11:41 PM MYT

SETELAH membina nama menerusi lagu Takdir Cinta, Teguh Setia dan Suratan Cinta, Muna Shahirah,26, kini muncul dengan lagu duet berjudul Bagaimana bersama pendatang baharu Zack Zakwan.

Lagu Bagaimana ciptaan sepenuhnya oleh Gouffran dan Sang Hitam itu dilancarkan secara rasmi di saluran YouTube FMC Music pada 23 Oktober lalu.

Apa yang menarik, kesyahduan melodi Bagaimana ini membuatkan bulu roma Muna meremang. 

“Pertama kali dengar melodi dan baca lirik lagu ini, bulu roma saya meremang, seolah-olah ada roh di dalamnya yang memberi saya seribu kekuatan dan keyakinan.

“Lagu Bagaimana merupakan karya istimewa, di mana melodi serta feel lagu ini sangat romantis.

“Kelainannya juga apabila single balada ini saya nyanyikan secara duet bersama Zack Zakwan yang mempunyai karakter vokal mantap,” katanya yang mengaku serasi bekerjasama dengan Zack Zakwan.

MUNA Shahirah dan Zack Zakwan gandingan menarik dalam lagu Bagaimana

Keserasian vokal Muna dan Zack ternyata membuatkan lagu Bagaimana lebih indah dan seronok didengarkan berulang kali.

“Peminat boleh menonton muzik video rasmi lagu Bagaimana ini di saluran YouTube FMC Music.

“Semoga anda semua suka mendengar dan menonton muzik video buah tangan daripada kami berdua,” ujar Zack atau nama sebenarnya Muhamad Shahrul Mohd Zakuan, 25.

Sebelum ini Zack Zakwan pernah muncul dengan single pertama beliau berjudul Kenangan, ciptaan Haqiem Rusli dan Sir Khan.

Impian Muna Shahirah

Muna akui kegagalan lagu Teguh Setia untuk ke Anugerah Juara Lagu (AJL) tahun lalu sedikit mengecewakan dirinya.

Ini kerana pemegang Ijazah Sains dan Matematik dari Universiti Sains Malaysia itu mengharapkan pertandingan tersebut menjadi platform terbaik untuknya menonjolkan bakat nyanyian kepada umum.

“Saya sudah memberikan yang terbaik ketika membuat persembahan di peringkat Separuh Akhir, tapi rezeki tidak menyebelahi.

“Saya mengimpikan untuk membuat persembahan di pentas besar seperti AJL kerana mahu meletakkan nama saya ke peringkat lebih baik.

“Bagi saya peluang tidak selalunya datang kali kedua, terutama pada pendatang baharu seperti saya, memandangkan kini begitu ramai penyanyi baharu hadir setiap hari.

“Disebabkan itu, saya sentiasa cuba memberikan yang terbaik dalam setiap persembahan atau lagu lagu nyanyian saya,” katanya.

Jangan lupa dapatkan lagu Bagaimana nyanyian Muna Shahirah dan Zack Zakwan di semua platform digital sekarang ya! – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas