Artikel

Sampah sarap cemari jalan Tasik Titiwangsa

LONGGOKAN sampah hasil buangan orang awam yang mengunjungi Taman Tasik Titiwangsa mencacatkan pemandangan kawasan. LONGGOKAN sampah hasil buangan orang awam yang mengunjungi Taman Tasik Titiwangsa mencacatkan pemandangan kawasan.
- Diterbit 5 April 2021 10:12 AM MYT

“Malah senario seperti ini boleh dilihat di banyak tempat lagi di Kuala Lumpur. Sampah bertaburan di sana sini, menyakitkan mata memandang dan menusuk hidung dengan bau yang tidak menyenangkan.

Awal pagi Isnin 29 Mac Adi melalui jalan besar Taman Tasik Titiwangsa dalam perjalanan ke Kilinik Kesihatan Kuala Lumpur (KKKL) yang terletak berhampiran dengan taman tasik tersebut.

Terkejut Adi melihat di sepanjang tepi dan bahu jalan besar itu sampah bersepah dan bertaburan sehinggalah hampir ke simpang jalan masuk ke Stadium Titiwangsa.

Plastik sampah makanan dan minuman bersepah di sepanjang jalan mencemarkan pemandangan.

Tong sampah juga membuak tidak dapat menampung sampah. Kemungkinannya sampah ini semua dibuang dan disepahkan pada malam sebelumnya, iaitu malam hari minggu.

Pada pagi Adi melalui jalan itu, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) belum sempat membersihkannya.

Adi tidak pasti sama ada terdapat pesta pada malam itu atau hanya pengunjung memenuhi jalan.

Yang menjadi isu ialah sikap sangat tidak bertanggungjawab dan pengotor mereka yang membuang sampah sesuka hati.

Alangkah buruknya sikap mereka dan amat mamalukan kerana mengotori jalan  utama tasik yang menjadi tumpuan ramai berekreasi dan beriadah.

Malah laluan dan bahu jalan di mana sampah bertaburan itu juga adalah laluan orang ramai berjogging selain laluan keluar masuk orang ramai yang hendak ke taman atau kawasan sekitarnya.

Apakah tidak ada langsung sensitiviti untuk mengamalkan kebersihan dan tidak mengotori kawasan tarikan keluarga?

Bagi Adi, jelas tidak ada kesedaran sivik di kalangan sebahagian warga kota. Mereka langsung tidak merasa bersalah membuang sampah sesuka hati.

Taman Tasik Titiwangsa yang telah dinaik taraf adalah kebanggaan ibu kota dan orang awam keseluruhannya sebagai tempat bersantai.

Pelbagai kemudahan bertaraf kelas satu disediakan. Sayangnya ada di kalangan orang ramai yang bermentaliti kelas ketiga, tidak tahu menghargai kemudahan dan keindahan taman yang disediakan.

Malah senario seperti ini boleh dilihat di banyak tempat lagi di Kuala Lumpur. Sampah bertaburan di sana sini, menyakitkan mata memandang dan menusuk hidung dengan bau yang tidak menyenangkan.

Sampai bilakah baru wujud kesedaran sivik yang tinggi di kalangan warga kota khususnya?

Menjaga kebersihan adalah tanggung jawab semua, bukan hanya diserahkan kepada pihak berkuasa. Berilah kerjasama. Mereka bukan khadam anda.

Cuba fikir, adakah anda jenis yang suka membuat kotor dan menyepahkan sampah sarap dalam rumah sendiri?

Jika tidak, jangan dilakukan kerja tidak bertamadun itu di tempat lain. Jika anda memang jenis pengotor, kotorkan sahaja rumah sendiri. Jangan lakukan tabiat itu di tempat lain.

LANJUTAN WIBB RAHMAT UNTUK PENIAGA

Menurut perancangan asal, program Wilayah Bebas Berniaga (WIBB) yang diperkenalkan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) atas inisiatif menterinya, Tan Sri TPr Annuar Musa, akan berakhir pada 15 April 2021. Program bermula pada pertengahan November 2020.

Namun menjelangnya Ramadan yang dijangka pada 13 April, Annuar mengumumkan program ini akan dilanjutkan sehingga 31 Julai untuk memberi peluang kepada peniaga yang menyertai program ini meneruskan perniagaan untuk meraih pendapatan menjelang Ramadan dan Syawal.

Ini sejajar dengan matlamat utama WIBB untuk memberi peluang orang ramai dan warga Wilayah Persekutuan khususnya yang minat berniaga membuka gerai atau warung menjual pelbagai jenis barangan seperti makanan atau minuman serta barangan lain.

Fokus utamanya ialah golongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19. Seperti yang diketahui, pandemik ini telah mendatangkan kesan serius kepada sektor ekonomi menyebabkan banyak syarikat atau perniagaan gulung tikar atau menghentikan operasi sehingga keadaan bertambah baik.

Akibatnya ramai yang kehilangan sumber pendapatan dan mengharungi hidup sukar, terutama di ibu negara di mana segala-galanya memerlukan wang.

Kerana itulah program WIBB diperkenalkan sebagai salah satu cara membantu mereka.

Mereka diberi kebenaran membuka warung atau gerai di lokasi pilihan dengan memohon lesen sementara.

Juga syaratnya lokasi tidak menganggu pergerakan orang ramai, mengganggu kawasan parkir serta tidak mengabaikan kebersihan.

Adi melihat program ini banyak memberi manfaat kepada mereka yang mengambil peluang berniaga di bawah WIBB.

Selain syarat yang mudah, ia dapat membantu golongan yang terkesan dengan pandemik COVID-19 khusunya untuk meraih pendapatan bagi menyara hidup.

Namun tempoh enam bulan bagi WIBB ini dirasakan belum mencukupi dan perlu dilanjutkan.

Seperti kata Annuar, walau pun perniagaan dibuka dan pelbagai aktiviti perniagaan dibenarkan, secara keseluruhan penjaja dan peniaga kecil masih bergelut dengan perniagaan yang agak malap, terutama ketika berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan atau Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Oleh itu bagi Adi langkah melanjutkan program WIBB memang tepat untuk memberi lebih ruang masa kepada peniaga untuk memperoleh pendapatan lebih.

Ini sangat relevan khususnya menjelang bulan Ramadan tidak lama lagi, diikuti Aidilfitri dijangka 12 Mei.

Perniagaan di bulan Ramadan dan menjelang Aidilfitri dijangka meningkat lebih baik  daripada waktu biasa.

Ini ditambah dengan hakikat bahawa bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri dibenarkan tahun ini setelah ditiadakan tahun lepas kerana penguatkuasaan PKP.

Kerana itu juga pendapatan peniaga dijangka lebih baik. Pendapatan berniaga ini bolehlah digunakan untuk persiapan Ramadan dan Aidilfitri serta keperluan lain untuk keluarga.

Lanjutan WIBB sehingga 31 Julai adalah rahmat kepada peniaga. Bersyukurlah. Diharapkan menjelang waktu itu para peniaga sudah menjadi semakin bijak berniaga dan mampu berdiri kukuh.

Selepas itu bolehlah berniaga secara tetap pula. Semuanya ini bermula atas inisiatif dan kerja kuat Annuar dan KWP untuk membela golongan yang memerlukan.

Adi percaya para peniaga juga menyedarinya. Balasan terbaik peniaga kepada usaha KWP dan Annuar ialah berusaha bersungguh-sungguh menjadi peniaga berjaya demi diri dan keluarga.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas