Berita

Shahidan tiba di Labuan untuk lawatan kerja dua hari

SHAHIDAN tiba di Lapangan Terbang Labuan bersama isteri untuk lawatan kerja dua hari di Wilayah Persekutuan Labuan. Kredit foto: Nazirul Roselan
- Diterbit 2 Oktober 2021 6:16 AM MYT

MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim tiba di Wilayah Persekutuan Labuan untuk lawatan kerja dua hari.

Dalam hantaran di laman Facebook, Shahidan mengucapkan kesyukuran setelah selamat tiba di Labuan pagi ini.

“Syukur alhamdulillah pada pagi yang rahmat ini, saya serta delegasi Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) telah selamat sampai ke Wilayah Persekutuan Labuan.

“Lawatan saya selama dua hari bermula hari ini adalah lawatan sulung saya selaku Menteri Wilayah Persekutuan.

“Semoga lawatan ini akan dapat kita sama-sama meningkatkan kualiti kehidupan, kesejahteraan dan kemajuan selaras dengan konsep Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif dan Mampan,” katanya.

Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau dilantik sebagai menteri dan mengangkat sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia pada 30 Ogos lalu.

Turut bersama dalam lawatan kerja tersebut, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Ketua Setiausaha KWP, Datuk Seri Rosida Jaafar serta Pegawai Kanan Kementerian. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas