Berita

PA Seri Perak terima peruntukan RM11.6 juta

PA SERI PERAK terima peruntukan tambahan untuk projek naik taraf kawasan. PA SERI PERAK terima peruntukan tambahan untuk projek naik taraf kawasan.
- Diterbit 22 Oktober 2021 5:30 AM MYT

MASALAH yang membelenggu warga Perumahan Awam (PA) Seri Perak selama ini mendapat perhatian pemimpin tertinggi negara apabila mengadakan lawatan kerja ke kawasan itu pada Sabtu lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam lawatan tersebut antara lain mengumumkan kira-kira RM11.6 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf kemudahan awam perumahan bagi memberi keselesaan kepada penduduk perumahan tersebut.

“Dari jumlah keseluruhan peruntukan tersebut, kerajaan melalui Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperuntukkan sejumlah RM8.4 juta bagi pelaksanaan kerja-kerja penggantian 14 unit lif di 7 blok (2 lif bagi setiap blok) di PA Seri Perak.

“Tindakan penggantian ini dibuat setelah mengambil kira kaedah penyelenggaraan yang tidak efektif dan ekonomi kerana kos yang diperlukan sangat tinggi untuk membaiki kerosakan lif yang sudah uzur. Kerja-kerja penggantian lif ini bermula pada awal tahun 2022,” katanya dalam satu kenyataan selepas program turun padang di PA Seri Perak pada 16 Oktober lalu.

Menurut Ismail Sabri, KWP turut menyediakan sejumlah peruntukan bagi menaik taraf dan meningkatkan keselamatan serta keselesaan penduduk di perumahan tersebut.

“KWP menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM1.8 juta bagi melaksanakan kerja-kerja menaik taraf sistem pendawaian elektrik di PA Seri Perak.

“KWP juga memperuntukkan sejumlah RM400,000 di bawah Peruntukan Khas Wilayah Persekutuan 2021 bagi kerja-kerja menaik taraf Dataran Serbaguna seperti penggantian lantai, lampu-lampu dan infrastruktur riadah untuk menjadikannya lebih selesa dan selamat,” katanya.

Ujar beliau, kira-kira RM1 juta diperuntukkan di bawah pakej PEMERKASA (Inisiatif Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi) bagi pelaksanaan projek-projek kecil.

“Ia melibatkan kerja-kerja penggantian taman permainan kanak-kanak, penggantian bumbung di Blok 31, pembaikpulihan padang futsal, kerja-kerja penggantian longkang yang pecah, pambaikpulihan parking motosikal di kesemua blok dan pemasangan pagar walkaway di PA Seri Perak yang telah siap 80 peratus,” katanya.

Ismail Sabri turut memaklumkan, kerajaan akan sentiasa memantau keperluan-keperluan rakyat dari semasa ke semasa bagi memastikan aspek kesejahteraan dan kebajikan rakyat sentiasa dijaga khususnya berkaitan isu penyelenggaraan fasiliti kemudahan awam di PPR dan PA dalam merealisasikan matlamat Keluarga Malaysia: Makmur, Inklusif, Mampan dicapai.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk PA Seri Perak, Fairul Iskandar Faizil De Souza berkata, pihaknya bersyukur kerana peruntukan besar yang diberikan kepada PA Seri Perak menunjukkan bahawa kerajaan prihatin dengan masalah yang terpaksa di hadapi penduduk.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana mengambil inisiatif dan memberikan perhatian terhadap masalah yang dihadapi penduduk di PA Seri Perak dan semua penduduk PPR dan PA amnya.

“Kesemua kerja-kerja naik taraf dan penyelenggaraan sedang dilaksanakan dan ia bakal memberikan wajah baharu yang lebih ceria untuk kawasan ini,” katanya kepada Wilayahku.

Tambah Fairul, pihaknya berharap agar kerajaan dapat menyelesaikan masalah parkir bertingkat yang menjadi masalah kepada penduduk setempat.

“Saya difahamkan, peruntukan tersebut telah disediakan semasa Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menjadi Menteri Wilayah Persekutuan dahulu dan ia ditangguhkan semasa Pakatan Harapan (PH) mentadbir.

“Jadi saya harap, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dapat membantu menyelesaikan masalah parkir ini untuk kesejahteraan penduduk di sini,” ujarnya. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas