Berita

Isteri beli barang, suami duduk dalam kereta

PELANGGAN beratur dalam jarak yang telah disediakan oleh pihak pasaraya ketika membuat pembayaran.
- Diterbit 30 April 2020 9:38 AM MYT

PUTRAJAYA – Semua premis perniagaan diingatkan agar terus mengekalkan prosedur standard operasi (SOP) meskipun kerajaan telah membenarkan dua orang untuk keluar bersama termasuk untuk berbelanja keperluan harian.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini pasar raya didapati masih mengikuti SOP yang dikeluarkan kerajaan dari segi penjarakan sosial dan jumlah pelanggan yang boleh berada di dalam pasaraya bagi satu-satu masa.

“Mungkin selepas ini barisan agak panjang dengan bertambah pelangganya.

“Saya berharap jika menghantar isteri berbelanja, suami boleh tunggu dalam kereta dan isteri berbelanja,” katanya dalam nada seloroh dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Kerajaan semalam memberikan kelonggaran dengan membenarkan dua orang keluar dalam setiap kereta pada satu-satu masa ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memasuki fasa keempat.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri menjelaskan, pada peringkat awal PKP satu dan dua hanya seorang sahaja dibenarkan dalam kenderaan susulan positif Covid-19 masih terlalu tinggi ketika itu sebelum mendapati aduan daripada pemandu bersendirian tersebut.

“Di Kuala Lumpur contohnya berhadapan dengan masalah letak kenderaan dan sesetengah itu, isteri bekerja tetapi tidak boleh memandu dan suami terpaksa hantar.

“Itu perkara yang kita pertimbangkan lebih-lebih lagi apabila graf Covid-19 telah menurun dan landai daripada biasa,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas