Berita

PBT perlu benarkan operasi syarikat dilulus MITI

SEKTOR ekonomi yang penting dibenarkan beroperasi semasa PKP. Gambar hiasan
- Diterbit 30 April 2020 9:59 AM MYT

PUTRAJAYA – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak sewajarnya menyekat operasi sektor ekonomi yang telah dibenarkan oleh kerajaan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan perkara tersebut telah dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Menteri-Menteri Berkaitan Perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pagi tadi.

Kata beliau, sepatutnya tidak wujud perbezaan kebenaran apabila Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) meluluskan semua sektor ekonomi beroperasi dengan kapasiti penuh tanpa sekatan.

“Mungkin ada sedikit kekeliruan dan kita minta perkara ini dibincangkan dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk memastikan setiap yang kilang beroperasi yang diluluskan MITI mendapat kelulusan juga daripada PBT,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ismail Sabri menjelaskan, walaupun kebenaran 100 peratus pekerja dibenarkan namun prosedur standard operasi (SOP) perlu dipatuhi sektor yang diluluskan oleh MITI itu.

“SOP penjarakan sosial terdapat dalam kelulusan itu dengan MITI kenakan SOP ketat.

“Kilang-kilang memproses keperluan asas ini telah dibuka dulu dengan jumlah peratusan pekerja 50 peratus.

“Namun kini, ditambah 100 peratus dan mereka tertakluk kepada penjarakan sosial dengan maklumat lanjut mengenai perkara itu boleh diperoleh daripada MITI,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas