Kuala Lumpur

Isi cuti sekolah ke Muzium Negara

- Diterbit 27 Disember 2023 12:40 PM MYT

PENGISIAN yang lebih bermakna dan penuh informatif tanpa perbelanjaan yang tinggi membuatkan orang ramai terutama ibu bapa memilih untuk membawa anak-anak mereka ke Muzium Negara pada musim cuti sekolah ini.

Selain sebagai destinasi yang kaya dengan kepelbagaian warisan sejarah dan peradaban tanah air, muzium berkenaan turut menawarkan tiket masuk percuma untuk kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah.

Tinjauan Bernama di Muzium Negara semalam mendapati destinasi yang menempatkan pelbagai pameran menarik dan informatif itu, bukan sahaja menjadi pilihan pelancong domestik malah tumpuan pelancong luar negara.

Menitikberatkan penghayatan sejarah dalam diri anak-anaknya, Pengajar Institut Latihan Perindustrian (ILP) Jitra, Muhd Rizal Isa, 44, dari Kedah berkata Muzium Negara merupakan pilihan yang paling tepat dalam memenuhi masa terluang si cilik pada musim cuti ini.

Bapa kepada empat cahaya mata berusia antara tiga dan 14 tahun itu, berkata menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan anak-anak membesar dengan pendedahan dan kefahaman sewajarnya mengenai sejarah negara, di sebalik kepesatan teknologi yang mendominasi gaya hidup mereka.

“Kita nak bagi anak-anak ini faham asal usul mereka sebab kita tengok generasi sekarang ini terikut-ikut dengan hala teknologi yang melampau, jadi kita kena terapkan nilai-nilai (pemahaman sejarah) macam itu,” katanya kepada Bernama.

Berasal dari Kedah, Tan Xin Ci, 21, pula berkata kepelbagaian pameran yang ditawarkan di Muzium Negara menyebabkan sukar untuk beliau memilih yang paling digemari, namun koleksi busana dikenakan oleh masyarakat pada zaman dahulu antara yang menarik perhatiannya.

“Tadi saya tengok ada macam hubungan antara zaman kini dan dahulu…saya pilih untuk datang ke sini sebab penting untuk kita lihat sejarah negara kita,” katanya yang ditemani adik lelakinya, Tan Yie Xian, 18.

Asyik merakam momen anak-anak saudaranya bermain permainan ‘kaki hantu’ di pekarangan Muzium Negara, eksekutif jualan, Fatma Adira Akil, 28, berkata beliau merancang untuk ‘jalan-jalan cari ilmu’ sambil beriadah bagi mengisi masa lapang mereka pada musim cuti sekolah ini.

Menyifatkan destinasi itu sebagai informatif dan menyeronokkan, beliau memilih untuk membawa anak-anak saudaranya ke tempat yang berunsur ilmiah bagi memuaskan rasa ingin tahu kanak-kanak yang sedang meningkat usia.

“Selepas ini kami akan pergi ke Planetarium Negara dan kami memilih untuk menggunakan MRT (Transit Aliran Massa)…mereka (ketiga-tiga anak saudara) gemar meneroka dan banyak tanya kerana mereka memang suka benda-benda macam ini. Muzium ini macam mendidik sambil berseronok, jadi ada input untuk mereka,” katanya.

Sementara itu, menurut Jabatan Muzium Negara jumlah pengunjung sejak cuti sekolah bermula 16 Dis lepas hingga setakat 25 Dis telah mencecah kira-kira 25,000 pelawat.

Muzium Negara terbahagi kepada empat galeri untuk dilawati iaitu pameran Sejarah Awal Negara, Kerajaan-Kerajaan Melayu, Era Kolonial dan Malaysia Kini, selain turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik antaranya permainan tradisional, zip line dan Ceria @ Muzium Negara.

Pengunjung boleh menyaksikan koleksi menarik seperti tengkorak Homo Sapiens, ukiran batu Terracotta, Makara, Avalokitesvara, Baju Zirah Bugis, Bekas Minuman Bellarmine dan bendera pertama Persekutuan Tanah Melayu.

Selain itu, hingga 31 Dis ini Muzium Negara turut menyediakan pameran sementara iaitu Timbang Dan Sukat: Kearifan Metrologi dan Malaysia Tanah Airku. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas