Berita

IPGM ambil pelajar PISMP Bahasa Tamil kemasukan Sept 2021

- Diterbit 25 Februari 2021 4:51 AM MYT

INSTITUT Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) akan melaksanakan pengambilan pelajar untuk Program ljazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) bidang pengkhususan Bahasa Tamil bagi kemasukan Sept 2021.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengambilan itu dibuat berikutan unjuran bahawa terdapat keperluan guru Bahasa Tamil di sekolah rendah menjelang tahun 2026.

Mengenai penawaran biasiswa ljazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) bidang Bahasa Tamil, KPM menyatakan ia tidak ditawarkan pada tahun ini kerana terdapat lebihan guru dalam mata pelajaran itu di sekolah menengah.

“KPM sentiasa memastikan penawaran tempat untuk sebarang program pengajian dibuat supaya bekalan guru memenuhi unjuran bidang keperluan KPM. Langkah ini juga bagi mengelak lambakan guru dan ketidakpadanan opsyen mata pelajaran,” menurut kenyataan itu.

Pada 19 Feb lepas, KPM membuat hebahan penawaran program biasiswa ISMP yang akan dibuka secara dalam talian bermula 1 hingga 31 Mac ini.

Biasiswa ISMP ditawarkan kepada pelajar cemerlang di universiti awam yang sedang mengikuti pengajian pendidikan tahun pertama atau kedua dalam bidang tertentu yang kemudiannya akan dilantik menjadi pegawai perkhidmatan pendidikan dan ditempatkan di sekolah menengah KPM.

KPM memberitahu penawaran biasiswa itu dibuat berdasarkan perancangan dan unjuran keperluan opsyen guru KPM bagi sekolah menengah dari tahun ke tahun.

Pada tahun ini, katanya diunjurkan sebanyak 28 mata pelajaran yang mempunyai keperluan di sekolah menengah KPM dan perlu diisi menjelang tahun 2025. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas