Berita

Kerajaan luluskan permohonan pelarasan gred pegawai perubatan, pergigian kontrak

- Diterbit 25 Februari 2021 4:04 AM MYT

KERAJAAN telah meluluskan permohonan untuk melaraskan gred Pegawai Perubatan kontrak Gred UD41 ke Gred UD43 dan Pegawai Pergigian kontrak Gred UG41 ke Gred UG44 berasaskan kesetaraan laluan kerjaya pegawai tetap.

Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM) Datuk Mohd Shafiq Abdullah yang memaklumkan perkara itu berkata selaras dengan kelulusan mengenai prinsip pelaksanaan urusan itu oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 21 Jan dan kelulusan peruntukan oleh Kementerian Kewangan serta persetujuan pelantikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam pada 24 Feb, pelarasan gred berkenaan akan ditawarkan menerusi sistem e-housemen dan e-dentist bermula hari ini.

Menurutnya, pelarasan gred itu akan melibatkan sejumlah 21,408 Pegawai Perubatan, manakala bagi Pegawai Pergigian pula akan membabitkan seramai 697 orang.

Katanya, notifikasi mengenai tawaran tersebut akan dikemukakan kepada pegawai yang berkenaan menerusi e-mel masing-masing.

“Dengan pelarasan gred ini, diharapkan agar pegawai dapat meningkatkan lagi motivasi dan komitmen masing-masing untuk melaksanakan tugasan dengan lebih cemerlang termasuklah turut bersama dalam membendung dan menangani pandemik COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, beliau memaklumkan JPA pada 4 Feb, dan Kementerian Kewangan pada 10 Feb telah meluluskan permohonan untuk menyambung perkhidmatan kontrak seramai 585 Pegawai Perubatan, 1,071 Pegawai Pergigian dan 1,966 Pegawai Farmasi.

“Notifikasi mengenai tawaran ini juga akan dikemukakan kepada pegawai yang berkenaan menerusi e-mel masing-masing,” katanya. – BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas