Berita

Undang-undang Syariah kaitkan seks luar tabii sebagai jenayah tidak sah – Mahkamah Persekutuan

- Diterbit 25 Februari 2021 4:54 AM MYT

MAHKAMAH Persekutuan hari ini memutuskan bahawa peruntukan undang-undang Syariah Selangor yang menetapkan seks luar tabii sebagai jenayah adalah tidak sah dan tidak mengikut perlembagaan.

Panel sembilan hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat mendapati Seksyen 28 Enakmen Kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berkaitan dengan perkara yang termasuk dalam senarai Persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan, di bawah kuasa Parlimen.

Beliau berkata Seksyen 28 digubal bertentangan dengan item 1 Senarai Negeri yang menetapkan bahawa badan perundangan negeri tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang mengenai perkara-perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan.

Dalam keputusan sebulat suara itu, mahkamah membenarkan pengisytiharan yang dimohon seorang lelaki berusia 35 tahun bahawa Seksyen 28 itu  tidak sah atas alasan bahawa peruntukan berkenaan berkaitan perkara itu bahawa badan perundangan negeri Selangor tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang dan oleh itu terbatal dan tidak sah.

Seksyen 28 Enakmen itu memperuntukkan bahawa menjadi kesalahan Syariah bagi mana-mana orang yang melakukan persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii dengan mana-mana lelaki, perempuan atau binatang dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana gabungan hukuman itu.

Hakim-hakim lain yang bersidang ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Rohana Yusuf, Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abang Iskandar Abang Hashim serta hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang terdiri daripada Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, Datuk P. Nallini, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Zabariah Mohd Yusof, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim.

Lelaki itu memperoleh kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk memulakan prosiding menerusi petisyennya terhadap kerajaan Selangor dan deklarasi bahawa Seksyen 28 Enakmen 28 Kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah itu tidak sah.

Lelaki itu yang identitinya dirahsiakan atas permintaan peguam, didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah Selangor pada 2018 atas pertuduhan cuba melakukan seks di luar tabii dengan lelaki lain di sebuah rumah di Selangor.

Beliau mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu dan perbicaraannya di Mahkamah Tinggi Syariah ditangguhkan sementara menanti keputusan hasil usulnya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas