Integriti SPRM terus diperkasa – Datuk Seri Azam Baki

Integriti SPRM terus diperkasa – Datuk Seri Azam Baki

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyambut ulang tahun ke-53 penubuhan hari ini dan cabaran paling berat yang dihadapi sekarang ini lebih kepada menangkis taktik licik yang dilakukan oleh pelaku rasuah jenayah perdagangan.

Datuk Seri Azam Baki, yang dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya pada 9 Mac lepas, berkata penggunaan teknologi digital oleh pelaku menyukarkan SPRM untuk mengesan jejak pergerakan wang mereka.

“Modus operandi mereka semakin licik dan mereka dapat mengetahui undang-undang atau sistem yang ada,” katanya dalam wawancara eksklusif dengan Bernama di sini, baru-baru ini.

Namun, di bawah teraju Azam, 57, suruhanjaya itu bertekad untuk merealisasikan visinya untuk mewujudkan sifar rasuah dengan menerapkan pelbagai strategi termasuk penggunaan sumber manusia secara berkesan dalam mendepani cabaran penggal 2021 hingga 2025.

RAIH KEYAKINAN AWAM

Tidak hanya berdepan dengan modus operandi yang semakin licik, SPRM turut berdepan cabaran persepsi masyarakat yang mahukan badan itu menjadi suatu agensi bebas atau kelihatan bebas yang mampu melaksanakan tugas dengan professional tanpa campur tangan mana-mana pihak.

Mengakui bukan mudah untuk mengubah persepsi masyarakat, Azam berkata sejak beliau memegang jawatan, kerajaan telah mengusulkan beberapa pindaan yang menurutnya akan membantu meningkatkan tahap kepercayaan masyarakat.

Pertama, pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM akan dilakukan melalui Parlimen dan memerlukan sokongan dua pertiga anggota Parlimen.

Pada masa ini, di bawah Seksyen 5 (1) Akta SPRM 2009, pelantikan jawatan tertinggi SPRM dibuat oleh Agong atas nasihat Perdana Menteri.

Keduanya, Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah (SPPR) akan dibentuk di bawah SPRM untuk menangani pengambilan dan penamatan perkhidmatan pegawai dan kakitangan SPRM, yang kini berada di bawah kawalan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Pada 2 Sept, Azam telah memberitahu media bahawa inisiatif ini diputuskan dalam pertemuan baru-baru ini oleh Jawatankuasa Kabinet Khas Anti Pencegahan Rasuah, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, Azam berkata, Perlembagaan Persekutuan harus dipinda untuk membolehkan Parlimen melantik ketua pesuruhjaya SPRM dan membuka jalan untuk penubuhan suruhanjaya perkhidmatan.

“Perubahan ini adalah antara inisiatif (oleh pemerintah) untuk mendapatkan kepercayaan rakyat,” tambahnya.

LEBIH PROFESIONAL

Selain itu, penguatkuasaan yang lebih profesional turut dilihat sebagai antara strategi berkesan bagi meraih kepercayaan dan sokongan rakyat memandangkan SPRM kini memberi tumpuan terhadap isu-isu ketirisan dana, isu kepentingan awam dan keselamatan negara.

Tidak ketinggalan, strategi pencegahan turut diperkukuhkan dengan berganding bahu bersama Pusat Governans, Intergriti dan Anti-Rasuah (GIACC) bagi pelaksanaan Pelan Anti-Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023.

Untuk memantapkan lagi agensi yang awalnya dikenali sebagai Badan Pencegahan Rasuah (BPR), SPRM turut meningkatkan kemahiran dalam kalangan pegawai dengan melihat semula transformasi program yang telah dijalankan dari 2011 hingga 2013.

“Bagi fasa kedua (2013-sekarang), kita mahu pegawai SPRM mahir dalam pelbagai bidang, bukan dalam penyiasatan biasa sahaja malah memahami dalam bidang penyiasatan rasuah yang menjurus kepada rasuah jenayah perdagangan,” katanya.

Justeru, keperluan meningkatkan kelulusan akademik pegawai juga menjadi sasaran utama termasuklah menggalakkan pegawai mendapatkan banyak lagi pensijilan dari dalam dan luar negara termasuklah menjalinkan kerjasama dengan Nottingham Trent University (NTU), United Kingdom.

TANGANI KETIRISAN PEROLEHAN

Mengenai hala tuju, Azam menjelaskan agensi itu menetapkan objektif yang lebih jitu dan ia akan diteruskan sekurang-kurangnya untuk tiga tahun lagi.

Untuk tempoh itu, fokus akan diberikan untuk membantu menjana ekonomi negara dengan mengurangkan ketirisan dana kerajaan terutama saat negara sedang dilanda pandemik.

Ini penting memandangkan rasuah yang berleluasa boleh mengakibatkan ekonomi negara hancur yang mana kos perolehan meningkat dan menjejaskan sistem penyampaian.

“Ketika negara menghadapi COVID-19 yang menjejaskan ekonomi, SPRM berperanan dalam membantu negara untuk mencapai pendapatan tinggi serta meminimumkan ketirisan.

“Fokus kami adalah agar negara tidak hilang dana yang banyak akibat berlakunya ketirisan. Namun ini tidak membawa maksud yang kes lain tidak diutamakan. Fokus buat masa ini adalah berkaitan dengan rasuah jenayah ekonomi,” katanya

Dalam masa yang sama, SPRM mahukan supaya ahli pentadbiran, penjawat awam dan masyarakat peniaga sedar akan perkara ini dan bersama-sama dengan agensi itu dalam mencegah rasuah.

Ini ujarnya selari dengan pelaksanaan peruntukan Seksyen 17A Akta SPRM 2009 diberikan tumpuan untuk mewujudkan suasana perniagaan yang bersih dan bebas rasuah.

STATUS RASUAH DI MALAYSIA

Menurut Azam, kebanyakan kes rasuah dari tahun 2015 sehingga kini banyak melibatkan isu ketirisan perolehan kerajaan malah terdapat kes pegawai kerajaan menyeleweng dalam hal-hal perolehan kerajaan sehingga melibatkan kehilangan jutaan ringgit.

“Justeru, banyak penambahbaikan dilakukan. Jika dahulu kita kurang kepakaran tapi sekarang, SPRM sudah ada kemampuan untuk membuat analisis dan penilaian sesuatu kes dengan lebih tepat,” jelasnya.

Dalam mencapai visi sifar rasuah Azam mengakui bahawa ia bukan mudah dan memerlukan kerjasama semua pihak lain terutama agensi barisan hadapan.

Sesebuah negara itu katanya, boleh membawa imej ‘bersih’ sekiranya barisan hadapan yang terdiri daripada anggota penguatkuasaan bebas daripada jenayah rasuah malah visi itu mesti dicapai walaupun ia bukan perkara mudah kerana setakat ini tiada dalam dunia ini yang negaranya sifar rasuah.

Bagaimanapun, SPRM perlu merangka strategi supaya Malaysia dipandang sebagai sebuah negara yang betul-betul kurang kes rasuahnya.

“Kalau nak cakap mengenai sifar rasuah, kita perlu melihat kepada golongan barisan hadapan… apabila rasuah ini bersih dalam kalangan barisan hadapan, masyarakat akan nampak negara itu bersih.

“Namun jika mereka tidak diperbetulkan ia akan menjadi lebih teruk jadi strategi nak capai sifar rasuah, kena betulkan barisan hadapan kita terutama yang berurusan dengan orang luar,” katanya.

KUASA PEMBERI MAKLUMAT

Mengenai aktiviti pendidikan yang melibatkan masyarakat umum, program turun ke padang menjadi antara langkah proaktif yang dilaksanakan SPRM di setiap negeri dalam memastikan mesej pencegahan rasuah diterima dan difahami.

Malahan, SPRM menggunakan medium e-sukan sebagai platform seperti program SPRM PUBG (Player Unknown Battle Ground) mobile i-Challenge, selari dengan perkembangan teknologi dan gaya golongan muda dalam menyebar luas mesej antirasuah.

“Sesuatu yang membanggakan apabila kes-kes yang kita dapat hasilkan dalam mengekang ketirisan hasil kerajaan sejak tiga tahun lepas adalah kebanyakannya daripada pemberi maklumat yang mana kesedaran itu timbul melalui program pendidikan yang dijalankan.

“Sejak 2016 hingga Ogos lepas, 231 individu diberi pelindungan dengan 127 adalah dari pekerja dalam sektor kerajaan manakala masing-masing 30 orang awam dan sektor swasta,” katanya.

Pun begitu, pihaknya memahami masih ramai yang tidak mahu tampil memberi maklumat atau membuat aduan secara terus atau bersemuka walaupun undang-undang yang digunapakai adalah berkesan.

“Kita beri jaminan akan memberi perlindungan seperti yang termaktub di bawah Akta Pelindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711). Di bawah akta ini, kami akan jaga pemberi maklumat daripada dikenakan tindakan,” katanya. – BERNAMA

CATEGORIES