Berita

Bekalan air di Petaling pulih sepenuhnya – Air Selangor

|||
- Diterbit 1 Oktober 2020 3:23 AM MYT

BEKALAN air pulih sepenuhnya di semua kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual di daerah Petaling, sejak malam tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata kerja-kerja pembaikan paip pecah yang dijalankan di Persiaran Mimbar, Bukit Jelutong, Shah Alam dekat sini telah selesai pada 2.50 pagi tadi.

“Berikutan kerja-kerja pembaikan siap lebih awal daripada dijadualkan, bekalan air telah pulih sepenuhnya di semua kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pengguna yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu boleh melayari semua medium laman sosial Air Selangor termasuk di Twitter, Facebook, Instagram dan laman webnya.

Pada kira-kira 11 malam semalam, sebanyak 29 kawasan di daerah Petaling, mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan kejadian paip pecah di Persiaran Mimbar.

Kawasan tersebut melibatkan Bandar Kinrara 1, 2, 3, 4, 5 dan 9, Jalan Puchong Batu 7 hingga Jalan Puchong Batu 13, Kampung Bohol, Jalan Kenari, PJS 1 hingga PJS 11, Kampung Lembah Kinrara dan Puchong Mesra. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas