Selebriti

Intan belum bersedia maafkan Izreen, enggan dikaitkan lagi

- Diterbit 27 Mei 2021 2:25 AM MYT

BUKAN mudah sebenarnya untuk memaafkan orang pernah membuatkan hati kita terluka.

Perkataan maaf itu sendiri pun sukar untuk kita ungkapkan apatah lagi untuk memaafkan.

Begitulah situasi yang dialami oleh Intan Liana Saleh yang juga bekas isteri kepada pemuzik bebas, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau lebih dikenali sebagai Ude.

Penghujung 2017, dunia hiburan gempar apabila aktres, Izreen Azminda membuat pengakuan terbuka menjadi isteri kedua kepada Ude dalam satu perkahwinan tertutup di Damansara pada 8 Ogos.

Pendedahan perkahwinan Izreen dan Ude juga dibuat isteri pertama, Intan Liana Saleh pada 2 Disember 2017, sekali gus mencetuskan kecaman hebat.

Kini, nama Intan kembali mencuri perhatian apabila tampil dalam program Melodi Raya 2021 siaran TV3, baru-baru ini.

Dalam program tersebut, Izreen melafazkan mohon maaf secara berdepan dengan Intan, namun Intan dilihat seperti canggung dan terkejut dengan permohonan maaf bekas madunya itu.

“Di sini Intan nak memperjelaskan keadaan yang terlihat dalam rakaman melodi raya.

“Pertama, Intan menerima jemputan pihak Melodi Raya atas sasaran profesionalisme.

“Intan ada dimaklumkan akan tajuk segmen yang diangkat oleh Melodi Raya iaitu Buang Yang Keruh Ambil Yang Jernih akan tetapi Intan tidak dimaklumkan untuk ditemubual bersama-sama Izreen pada hari tersebut.

“Intan cuma dimaklumkan bahawasanya Izreen akan ada bersama di set Melodi Raya dan Intan diletakkan pada meja yang sama tetapi bukan bersebelahan. Intan bersetuju untuk keadaan itu, kerana setakat itu sahaja maka tiada masalah pada Intan.

“Dan sebelum Intan bersetuju, Intan ada bertanyakan pada pihak Melodi “adakah akan berlaku sesi bermaafan?”, kerana seandainya ada maka Intan belum bersedia untuk itu, dan Intan diberitahu tidak akan ada sesi tersebut, dan sekadar datang sebagai jemputan.

“Sebagai orang biasa yang bukan berada dalam dunia hiburan, pemahaman Intan adalah sekadar jemputan dan bukan untuk ditemubual,” luah Intan yang mengaku agak terkejut apabila dia diminta untuk ditemubual bersama Izreen apabila berada di set rakaman raya tersebut.

“Intan dimaklumkan kerana perlu mematuhi SOP maka, set berubah, dan Intan diminta untuk ditemubual bersama-sama Izreen bagi segmen tersebut.

“Atas dasar profesionalisme dan bagi tidak mengganggu program rakaman yang sedang berjalan maka Intan terima aturan sesi temu bual tersebut dalam keadaan tidak bersedia.

“Jadi apa yang terlihat dalam sesi temu bual tersebut adalah secara spontan bagi menjawab soalan yang diajukan.

“Buat masa sekarang biarlah keadaan berjalan seperti sediakala yang mana masing-masing dengan kehidupan masing-masing. Itu lebih baik untuk kedua-dua belah pihak,” ujarnya lagi.

Bagi Intan, apa yang telah berlaku antara dirinya dan Izreen tidak perlu diungkit lagi kerana apa yang terjadi dulu cukup terkesan di hatinya.

“Hal ini pada Intan tidak perlu disensasikan mahupun dijadikan ruangan hiburan media kerana ianya melibatkan hati dan perasaan, dan Intan bukanlah selebriti untuk dijadikan bahan topik, maka biarlah masa yang memulihkan segalanya.

“Tak perlu lagi mengaitkan atau mencalarkan nama sesiapapun dengan merujuk hal ini di masa hadapan.

“Intan harap dengan penjelasan ini akan merungkai persoalan yang berkaitan isu tersebut,” luah Intan yang lebih positif mahu memikirkan hal masa depan berbanding mengungkit kisah lalu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas