Berita

Insentif RM500 untuk penjaja terlibat program bazar Ramadan

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan akan memberi insentif kepada penjaja terlibat. Gambar hiasan (Isma web)
- Diterbit 11 April 2020 9:40 AM MYT

PUTRAJAYA – Kementerian Wilayah Persekutuan akan memberikan insentif RM500 kepada peniaga atau penjaja yang menyertai tiga program pelaksanaan seperti diumumkan sebelum ini bagi menggantikan bazar Ramadan.

Menterinya, Tan Sri TPr. Annuar Musa berkata, selain sebagai satu galakan, insentif tersebut juga bertujuan memudahkan penjaja yang terlibat membuat bayaran kepada pihak e-hailing khusus untuk proses penghantaran makanan kepada pembeli.

Ujar beliau, bagi pelaksanaan program itu juga, pihaknya akan bertemu dan berbincang dengan 66 wakil penjaja dari setiap lokasi bazar Ramadan sebelum ini.

“Pada pukul 9.30 pagi esok, di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), saya akan jumpa dan minta penganjur dari 66 lokasi untuk putuskan lokasi serta ahli yang akan terlibat.

“Mereka juga akan beri penjelasan kepada penjaja terlibat dan kita mungkin akan tubuhkan seketariat kecil bagi memudahkan pelaksanaan selain melakukan ‘soft run’ program bagi menu serta proses tempahan,” jelasnya dalam siaran langsung di Facebook hari ini.

Menurut Annuar, perincian tentang teknikal pelaksanaan juga perlu dilakukan termasuk waktu akhir (pukul 1 petang) untuk membuat tempahan bagi membolehkan makanan yang dipesan dihantar selain penambahan beberapa lagi kawasan seperti sekolah untuk memudahkan kutipan tempahan dilakukan.

Mengulas lanjut, ujar beliau, 1,200 penyelia yang terdiri daripada penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Angkatan Sukarelawan (Rela) akan ditempatkan di lokasi yang ditetapkan bagi mengawal keadaan serta memastikan prosedur operasi standard (SOP). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas