Berita

ISN cari ramuan terbaik buat The Pocket Rocketman

AZIZULHASNI Awang bersama jentera yang direka khas buatnya.
- Diterbit 11 April 2020 9:44 AM MYT

KUALA LUMPUR – Penangguhan Sukan Olimpik Tokyo 2020 ke tahun hadapan memberi hikmah tersembunyi buat Institut Sukan Negara (ISN) dalam merancang kembali program atlet negara yang bersaing dalam temasya terbesar dunia itu.

Masa yang ada akan digunakan untuk terus memperkasakan usaha mencari ‘pelarasan terbaik’ terhadap basikal khas Azizulhasni Awang bagi meningkatkan prestasi jaguh trek negara itu pada tarikh baharu Sukan Olimpik 2020 Tokyo, Julai 2021 nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md. Ramli berkata, basikal model WX-R Vorteq itu adalah hasil kerjasama projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) pihaknya bersama syarikat dari United Kingdom, TOTALSIM Ltd. yang dilancarkan pada awal Mac lalu.

“Fine tuning dan ujian-ujian lain akan terus dilakukan terhadap basikal tersebut bagi memastikan kita dapat membantu Azizulhasni dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom dari segi prestasi menjelang tarikh baharu temasya itu nanti.

“Dalam hal ini, adaptasi dan pengubahsuaian program sedia ada sedang dilakukan selain objektif serta sasaran juga akan turut dinilai semula bagi memastikan setiap atlet mampu mencapai kemuncak prestasi,” ujarnya.

Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Sahrom akan mewakili negara dalam acara berbasikal trek di Sukan Olimpik Tokyo yang ditunda penganjurannya akibat penularan wabak Covid-19 diseluruh dunia. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas