Berita

Misi bantuan banjir KWP diteruskan di Pahang

SHAHIDAN membantu kakitangan KWP dan Sukarelawan membersihkan dan mencuci kawasan Taman Tasik Bandar Temerloh termasuklah kawasan parkir, dataran serta beberapa laluan utama yang dipenuhi lumpur selama enam jam , hari ini. Gambar - FACEBOOK Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (DSSK)
- Diterbit 27 Disember 2021 10:13 AM MYT

SEJAJAR dengan konsep Aspirasi Keluarga Malaysia, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bersama agensi-agensi di bawahnya terus komited menghulurkan bantuan dan mengatur gerak kerja bagi operasi membantu, menyelamat dan membersih kawasan-kawasan yang terkesan susulan banjir yang berlaku baru-baru ini.

Misi bantuan banjir KWP kali ini diteruskan ke negeri Pahang dengan menumpukan kepada kawasan-kawasan yang terkesan teruk iaitu Bentong, Mentakab dan Temerloh.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, operasi bantuan banjir di Bentong dimulakan hari ini manakala Temerloh dan Mentakab pula telah bermula operasinya pada 25 Disember lalu.

“KWP melalui Perbadanan Putrajaya (PPj) telah menggerakkan dua buah lori, 20 buah pacuan empat roda, satu bot enjin, satu floater bot, satu enjin sangkut, sebuah gengset, 19 water jet, dua unit water pump dan tiga hose biru untuk kawasan terjejas di Temerloh dan Mentakab.

“Operasi ini tertumpu kepada pembersihan kawasan kemudahan awam antaranya di Masjid Kuala Kuang, Masjid Desa Bakti, Masjid Sri Semantan, Masjid Kampung Raja, Masjid Kampung Tebal, Masjid Kampung Bukit Lada, Taman Esplanade Temerloh dan Taman Tasik Bandar Temerloh,” jelasnya yang mahu memperluaskan misi ini ke daerah atau negeri lain dari semasa ke semasa.

Mengulas lanjut, Shahidan memberitahu, pembersihan kawasan terkesan di Bentong pula mendapat kerjasama bantuan kelengkapan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan PPj.

 

“DBKL menggerakkan tiga buah lori bersaiz lima tan, dua buah lori angkut, tiga buahlori tangki air, lima buah kenderaan jenis SUV atau van serta sebuah pacuan empat roda manakala PPj pula menyediakan lima buah SUV, dua genset, tiga water pump dan 30 water jet bagi kerja-kerja pembersihan yang bermula hari ini di Taman Bukit Dinding dan Taman Wijaya serta kawasan berhampiran,” katanya.

Selain itu, KWP turut mengedarkan bakul-bakul makanan kepada keluarga yang terjejas akibat banjir di tiga kawasan terbabit.

Katanya, KWP akan terus bekerjasama dengan agensi kerajaan lain untuk memastikan kebajikan rakyat sentiasa dijaga dan menyerus syarikat swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) untuk terus bersama berganding bahu membantu rakyat.

Terdahulu, Shahidan turun padang membantu membersihkan dan mencuci kawasana Taman Tasik Bandar Temerloh termasuklah kawasan parkir, dataran serta beberapa laluan utama yang dipenuhi lumpur selama enam jam , hari ini.

Lebih 300 kakitangan dan sukarelawan dari KWP, PPj, DBKL, Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB), Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PTGWP) terlibat dalam misi bantuan kali ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas