Berita

“Ingat ALLAH selalu, Stres Akan Hilang” – MAS ANIZAN

|MAS Anizan sedang popular menerusi drama bersiri Lelaki Lingkungan Cinta (TV3) terbitan Zeel Production
- Diterbit 24 Oktober 2020 10:30 PM MYT

SEJAK akhir-akhir ini, kita diuji dengan pandemik COVID-19 yang mengancam kehidupan seharian. Setiap hari kita berhadapan dengan risiko virus berbahaya ini.

Tidak cukup dengan itu, wabak ini juga menjadi punca kepada kejatuhan ekonomi dan secara tidak langsung ramai yang kehilangan pekerjaan.

Situasi ini sangat mencabar keimanan dan emosi. Ada yang tidak dapat mengawal stres sehingga jatuh sakit dan tidak kurang juga berniat untuk bunuh diri.

“Tidak dinafikan, apa yang berlaku sekarang betul-betul menguji kita semua. Ini termasuklah kami golongan artis yang turut terjejas.

“Mahu atau tidak, kita semua perlu berhadapan dengan situasi getir ini. Tiada cara lain. Cuma setiap orang ada cara masing-masing bagaimana menanganinya.

“Saya sendiri perlu mengawal emosi dan mental agar kekal tenang. Ia tidak mudah, tetapi usaha itu perlu ada,” kata pelakon yang kekal awet muda, Mas Anizan kepada Wilayahku. 

MAS Anizan sedang popular menerusi drama bersiri Lelaki Lingkungan Cinta (TV3) terbitan Zeel Production

Mas Anizan atau nama sebenarnya Mas Anizan Mohamed Shahid, 47, mempunyai cara tersendiri berhadapan dengan stres.

“Tipulah kalau saya tidak pernah stres. Apa yang saya lakukan adalah menerapkan dalam diri agar sentiasa bersyukur dengan apa yang ada. Dengan ini, hati jadi lebih tenang

“Ingat Allah selalu, insya Allah stres akan hilang. Serabut macam mana pun fikiran kita, banyakkanlah baca Al-Quran dan zikir pasti hati jadi lebih tenang

“Kadang-kadang kita tidak sedar sudah jauh daripadaNya. Sama-samalah berdoa agar kita semua sentiasa dalam rahmatNya,” ujar pelakon drama bersiri Lelaki Lingkungan Cinta terbitan Zeel Production. 

Menyentuh kisah peribadi, balu kepada Allahyarham Datuk Ali Bapoo kini bahagia bersama anak-anak mereka iaitu Mas Aliza,25, Mohd Masli Daniel Ali, 20, dan Ariana Marissa,6. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas