Berita

PL wujudkan rumah transit sementara

FARY turut menyumbang tenaga dalam kerja-kerja persiapan Rumah Transit PL.
- Diterbit 25 Oktober 2020 1:04 PM MYT

PERBADANAN Labuan (PL) menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Labuan telah menyediakan rumah transit sementara kepada pesakit COVID-19 (kluster Saguking) yang telah sembuh dan telah dicaj.

Ketua Pegawai Eksekutif PL, Dr Fary Akmal Osman berkata, Ia berikutan lokaliti Saguking masih dalam pengawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan mereka tidak dibenarkan pulang dan kini mereka telah ditempatkan di penempatan sementara.

Katanya, PL telah menyediakan sebanyak tujuh buah unit rumah secara keseluruhannya telah dijadikan sebagai rumah transit bagi menempatkan pesakit COVID-19 (kluster Saguking) yang telah sembuh sepenuhnya.

“Kita tidak benarkan mereka yang telah sembuh pulang ke kawasan itu dan mereka yang didalam kawasan Saguking tidak dibenarkan keluar kerana lokaliti Saguking masih dalam pengawasan PKPD.

“Mereka yang telah dirawat kita ingin memastikan mereka selamat untuk pulang kerana kita tidak mahu berlakunya jangkitan COVID-19 kepada mereka yang sembuh buat kali kedua,”katanya kepada pemberita ketika meninjau persiapan Rumah Transit PL, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perbandaran) PL, Rithuan Mohd Ismail.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan rumah transit sementara itu hanya untuk menempatkan bekas pesakit COVID-19 kluster Saguking ( warganegara) sahaja.

“Rumah transit akan menempatkan mereka yang telah discaj daripada hospital,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas