Berita

Jasad mendiang Guan Dee disempurnakan Sabtu ini

AHLI Dewan Negara Senator Datuk Guan Dee Koh Hoi meninggal dunia pada 4.50 petang di Hospital Kuala Lumpur. Kredit foto: Bernama
- Diterbit 27 Oktober 2021 3:21 AM MYT

JASAD mendiang Ahli Dewan Negara Senator Datuk Guan Dee Koh Hoi yang meninggal dunia petang tadi akan disempurnakan di Krematorium Cheras, dekat sini pada Sabtu ini.

Perkara tersebut disahkan anak keduanya, Melissa Emelda, 38, ketika dihubungi Bernama malam ini.

“Kami memahami prosedur operasi standard ditetapkan bagi pesakit yang meninggal dunia akibat COVID-19, tidak membenarkan jasad mereka dibawa balik, disebabkan itu kami merancang untuk membawa pulang abu mendiang ke Sabah.

“Pengecaman mayat dibuat di Hospital Kuala Lumpur pada Sabtu (30 Okt) sebelum proses pengurusan jasad mendiang dilakukan,” katanya.

Melissa berkongsi sifat bapanya yang rajin dan kuat bekerja walaupun menghidap penyakit kanser sejak 2018.

Katanya, mereka sekeluarga sempat meraikan sambutan hari lahir mendiang yang ke-67 pada awal bulan ini.

Guan Dee meninggal dunia pada 4.50 petang di Hospital Kuala Lumpur selepas mengadu sakit dada.

Presiden STAR Sabah Datuk Dr Jeffrey Kitingan dilaporkan berkata Guan Dee berada di Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat Perikatan Nasional (PN) pada petang Ahad (24 Okt) namun tidak menghadiri mesyuarat itu selepas disahkan positif COVID-19.

Guan Dee dilantik sebagai Ahli Dewan Negara untuk tempoh bermula 16 Dis 2020 hingga 15 Dis 2023 dan pernah menjadi Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya pada 16 April lepas sebelum kabinet terbubar setelah Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 16 Ogos lepas. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas