Berita

IMR, makmal rujukan Covid-19 di Malaysia

|Proses optimasi ujian real time RT-PCR untuk 2019-nCoV (Covid-19).
- Diterbit 15 Februari 2020 3:02 PM MYT

PUTRAJAYA – Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia (IMR) merupakan makmal rujukan bagi penyakit polio dan influenza, yang kini digunakan untuk mengesan Coronavirus Diease 2019 (Covid-19) di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, IMR merupakan makmal pertama yang terlibat secara langsung dalam menjalankan ujian diagnostik mengesan Covid-19.

“Ia memulakan persediaan menghadapi sebarang kemungkinan penularan Covid-19 di negara ini, sejak 3 Januari lalu yang mana reagen untuk mengesan coronavirus dengan mengunakan kaedah Conventional RT-PCR.

“Seterusnya, pada 11 Januari, apabila ahli saintis dari China berkongsi maklumat genetik Covid-19, Unit Virologi IMR sudah merekacipta urutan reagen yang dikenali sebagai “primers and probes specific for Covid-19” pada hari yang sama. Protokol yang digunakan IMR juga selari dengan protokol real time RT-PCR Covid-19 yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu mengikut Corman et al., 2020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Noor Hisham memaklumkan, Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memperkukuhkan aktiviti kesiapsiagaan dan respon bagi menghadapi penularan jangkitan Covid-19 di negara ini.

Ujarnya, pemantauan perkembangan kejadian jangkitan tersebut melalui maklumat yang diperoleh daripada pelbagai pihak yang terlibat akan terus dilakukan.

Tambah beliau, orang ramai akan sentiasa dimaklumkan tentang perkembangan terkini mengenai Covid-19 dan KKM akan memastikan langkah pencegahan serta kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan. – WILAYAHKU

Proses optimasi ujian real time RT-PCR untuk Covid-19.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas