Berita

UniKL bangkit ikat TNB, kekalkan rekod tanpa kalah

Pasukan UniKL muncul juara Piala Liga TNBMHL 2020 selepas mengikat TNB 1-1 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam ini.
- Diterbit 16 Februari 2020 2:39 PM MYT

KUALA LUMPUR – Juara Liga Premier TNBMHL 2020, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menutup kempen musim ini dengan rekod tanpa kalah selepas seri 1-1 dengan Tenaga Nasional Bhd. (TNB) pada aksi terakhir yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil malam ini.

Bagi UniKL, ia adalah penamat terbaik kerana mereka adalah satu-satunya pasukan dalam sejarah pertandingan berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah untuk mempertahankan gelaran selama dua tahun berturut-turut.

Ketua jurulatih UniKL, Arul Selvaraj berkata, dia berpuas hati dengan pencapaian cemerlang berkenaan sekali gus berharap anak buahnya dapat mengekalkan momentum menjelang saingan Piala TNB yang dijadual bermula Rabu ini.

“Para pemain menjalankan tugas mereka dengan baik walaupun kami ketinggalan dahulu dalam perlawanan ini.

“Ini adalah detik bersejarah bagi kami kerana berjaya mempertahankan kejuaraan liga. Sekarang fokus mesti terarah kepada saingan Piala TNB dan kalau boleh saya mahu memenangi gelaran treble musim ini,” katanya.

UniKL akan ditabalkan sebagai juara treble jika berjaya memenangi Piala TNB selepas terdahulu berjaya menjuarai Piala Sumbangsih dan Liga Premier.

Terdahulu UniKL bermula garang dengan memperoleh peluang demi peluang selain menguasai sebahagian besar perlawanan.

Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil yang sudah meledak tujuh gol setakat ini, berpeluang membuka tirai jaringan buat UniKL tetapi percubaannya melewati palang gol pada minit ke-26.

TNB juga mempunyai peluang keemasan menerusi Muhammad Azrai Aizad tetapi percubaannya berjaya dihalang penjaga gol UniKL, David Harte.

Gol yang dinanti-nanti akhirnya tiba pada suku masa terakhir perlawanan apabila Muhammad Shahril Saabah memanfaatkan peluang untuk memastikan TNB mendahului 1-0 pada minit ke-51.

Hasrat TNB untuk meleburkan rekod tanpa kalah UniKL tidak kesampaian apabila Mohamad Ashran Hamsani berjaya menyamakan kedudukan lima minit kemudian.

Sebagai juara musim ini, UniKL membawa pulang wang tunai berjumlah RM100,000 manakala naib johan iaitu TNB meraih sebanyak RM60,000.

Selain UniKL dan TNB, turut melangkah ke peringkat separuh akhir Piala TNB ialah pasukan tempat ketiga, Terengganu Hockey Team (THT) dan Maybank yang menduduki tangga keempat.

Dalam perlawanan lain yang berlangsung hari ini, Universiti Teknologi Mara menewaskan TNB Thunderbolts 4-1 manakala Maybank mencatat keputusan seri 2-2 dengan THT. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas