Berita

Covid-19 – Nenek 83 tahun warga AS mangsa ke-22

|
- Diterbit 15 Februari 2020 2:37 PM MYT

PUTRAJAYA – Seorang warga emas wanita berusia 83 tahun dilaporkan terkena jangkitan Coronavirus Diease 2019 (Covid-19) hari ini, selepas didapati mempunyai gejala berkaitan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes ke-22 ini membabitkan warga Amerika Syarikat (AS) yang merupakan salah seorang penumpang kapal persiaran yang pernah berlabuh di Kemboja, Khamis lalu.

Jelas beliau, semua penumpang dan anak kapal berkenaan dibenarkan pulang ke negara masing-masing oleh kerajaan Kemboja setelah memaklumkan bahawa saringan kesihatan sudah dijalankan ke atas mereka.

“Seramai 145 penumpang kapal persiaran tersebut mengambil penerbangan ke Malaysia, semalam. Daripada jumlah itu, dia bersama suaminya dikesan bergejala dan dirujuk ke Hospital Sungai Buloh bagi menjalani pemeriksaan lanjut yang mana ujian saringan pengesanan Covid-19 oleh Institut Penyelidikan Perubatan Malaysia (IMR) hari ini, menunjukkan positif.

“Buat masa ini, ujian pengesanan Covid-19 terhadap suaminya yang berusia 85 tahun (warga AS) adalah negatif. Namun, suaminya juga masih menerima rawatan dan pemantauan di Hospital Sungai Buloh bagi gejala yang dialami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Hisham memberitahu, daripada 145 penumpang itu, 121 orang adalah transit dan sudah terbang ke destinasi masing-masing tanpa memasuki Malaysia manakala 22 penumpang lagi sedang dan sudah transit keluar dari negara ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas