Berita

Iman perkuat pembangunan KLHA

SEBAHAGIAN peserta yang menyertai Program Pembangunan Hoki Kuala Lumpur.
SEBAHAGIAN peserta yang menyertai Program Pembangunan Hoki Kuala Lumpur.
- Diterbit 9 Ogos 2019 9:31 AM MYT

KUALA LUMPUR – Bekas ‘orang kuat’ hoki Malaysia, Iman Gobinathan bertekad mahu membantu Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA) bagi melahirkan lebih ramai bakat baharu berkualiti sekali gus mampu menyumbang kepada pembangunan hoki negara.

Iman yang juga bekas Penolong Jurulatih skuad hoki wanita negara kini mengalas tugas baharu selaku Ketua Pembangunan Prestasi Hoki KLHA bermula pada 1 Ogos lalu.

Kata Iman, dia yakin tugasan baharu bersama KLHA itu mampu memberikannya peluang untuk membantu mengasah bakat pemain muda sehingga berupaya mewakili Malaysia pada masa akan datang.

“Ini satu tugas yang memerlukan tempoh masa panjang. Saya anggap tugas baharu ini sebagai satu cabaran baharu kerana percaya ramai pemain muda diluar sana yang hebat cuma perlu digilap dan dikembangkan lagi bakat mereka,” ujarnya.

Katanya lagi, dia yakin seandainya diberi penekanan serta tunjuk ajar yang baik, tidak mustahil mereka akan berjaya sekali gus dalam masa yang sama hoki bakal mendapat pelapis muda yang berpotensi tinggi.

“Bagi tempoh terdekat ini saya akan cuba membantu pasukan Kuala Lumpur untuk persediaan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 yang bakal berlangsung di Johor pada tahun hadapan,” katanya.

Selain Iman, KLHA turut melantik bekas Jurulatih Pembangunan Uddingston HC, Ahmad Nizam Yusof selaku Ketua Pembangunan Bakat KLHA bagi bersama-sama memastikan masa hadapan hoki lebih bersinar.

Sebagai rekod, Nizam 39, sebelum ini pernah berkelana selama 13 tahun di Scotland dan pernah beraksi di Liga Hoki Kebangsaan Scotland sebelum memulakan kerjaya sampingan sebagai Jurulatih Pembangunan di Uddingston HC dari 2009 hingga 2017.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas