Berita

KCE 18 ingin jalin kerjasama dengan JPWP

CATUR bantu pemain berfikiran kritis. - Gambar hiasan
CATUR bantu pemain berfikiran kritis. - Gambar hiasan
- Diterbit 9 Ogos 2019 9:38 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]

PUTRAJAYA – Kelab Catur Elit 18 (KCE18) berhasrat menjalinkan kerjasama bersama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya (JPWPP) bagi memperluas penglibatan pelajar sekolah dalam sukan catur.

Pengerusinya , Mohd. Nurul Izani Mohd. Asri berkata, permainan catur dilihat sebagai satu sukan yang mampu melahirkan masyarakat berfikiran cerdas, mempunyai daya fokus tinggi dan berupaya menyelesaikan masalah dalam masa singkat.

“Sebelum ini, kami aktif dalam pembangunan sukan catur di SK Putrajaya Presint 18(1). Oleh itu, berhasrat untuk pula memper­luaskannya ke seluruh sekolah di wilayah ini.

“InsyaAllah hasrat ini bakal dibawa ke JPWPP. Bagi saya jalinan kerjasama ini adalah sesuatu yang mendatangkan kelebihan memandangkan catur berkait rapat dengan bidang pendidikan,” katanya ketika ditemui di Kejohanan Catur Majlis Sukan Sekolah Sekolah Malaysia (MSSM) di Cyberjaya baru-baru ini.

Tambahnya lagi, sejak KCE18 ditubuhkan pada 2017, pemain kelabnya juga bertanding dalam sukan di peringkat sekolah dan negara.

KCE 18 terdiri daripada segenap lapisan penggiat catur antaranya guru-guru, jurulatih, penga­dil, ibu bapa dari Kelab Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Putrajaya Presint 18(1) serta pemain catur sari seluruh Malaysia.

Terdahulu KCE18 pernah memecah rekod Pemain Catur Remaja Teramai di Malaysia Books of Records selama dua tahun berturut-turut sempena Festival Catur Putrajaya 2017 dan 2018 yang diadakan di Kementerian Wilayah Persekutuan Putra­jaya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas