Berita

Imam Rawatib johan Qari Tilawah al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan 1441H

MUADZEEN (kiri) dan Lailasari (kanan) menunjukkan piala yang dimenangi selepas menjadi Johan bagi kategori Qari dan Qariah Tilawah al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1441H.
- Diterbit 23 Januari 2020 7:12 AM MYT

KUALA LUMPUR – Imam Rawatib berusia 55 tahun dinobatkan sebagai Johan Qari Tilawah al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan 1441H yang berlangsung hari ini.

Muadzeen Ackil mendapat 87.5 peratus markah pernah memperoleh tempat ketiga dalam Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan tahun 2017 dan 2018.

Naib Johan pula dimenangi Muhammad ‘Ammar Mukhlis Abdul Mohsin, 22 yang juga bekas peserta Program Realiti TV JAKIM Adik-Adikku Musim Ke-2, 2011 dengan markah 84.5 peratus.

Bagi kategori Qariah pula, Johan dimenangi Guru Sekolah Rendah Agama (SRA) JAWI, Lailasari Sabran dengan catatan markah 81.5 peratus.

Wanita berusia 56 tahun itu juga pernah mewakili Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Selangor pada 2009 dan 2015.

Warga emas, Khamariah Yusof, 64, pula memperoleh kedudukan Naib Johan Qariah selepas kekurang 0.5 markah.

Sementara itu, bagi kategori hafazan al-Quran, empat adik beradik yang mana dua orang lelaki mendapat tempat ketiga bagi kategori masing-masing iaitu 1-20 juzuk dan 1-30 juzuk.

Bagi kategori perempuan pula, salah seorang dinobatkan Johan Hafazan untuk kategori 1-30 juzuk manakala seorang lagi di tempat ketiga bagi kategori 1-20 juzuk.

Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1441H yang berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan di sini disempurnakan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan (TKSUK ) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Hasnol Zam Zam Ahmad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd. Ajib Ismail. – WILAYAHKU

SHAHRUDDIN (tengah, depan) bersama pemenang dan penonton yang hadir pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1441H yang berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas