Berita

ATM pandang serius insiden penculikan warga Indonesia di Perairan Tambisan

Ihsan FB Markas Angkatan Tentera Malaysia.
- Diterbit 23 Januari 2020 7:17 AM MYT

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memandang serius insiden penculikan lima warga Indonesia di Perairan Tambisan, Sabah yang dilaporkan pada 16 Januari lalu.

Kelima-lima mangsa dipercayai dibawa ke Selatan Filipina oleh kumpulan penculik yang dikaitkan dengan Kumpulan Abu Sayyaf.

ATM dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya sentiasa mengimplementasikan kesepakatan rondaan secara bersama antara Malaysia, Indonesia dan Filipina.

“Adalah ditegaskan bahawa kesemua usaha-usaha kesepakatan tiga negara untuk memperkukuhkan keselamatan kawasan maritim secara bersepadu di perairan Laut Sulu yang bermula sejak 2016 telah dan sedang dilaksana ATM.

“Malah, ketiga-tiga negara juga menubuhkan Pusat Kawalan Maritim bagi tujuan perkongsian maklumat, risikan dan koordinasi aktiviti-aktiviti Trilateral Maritime Patrol (TMP) dan Trilateral Air Patrol (TAP) yang melibatkan ATM, Tentera Nasional Indonesia dan Angkatan Tentera Filipina,” kata kenyataan itu.

ATM menyatakan, kesemua kesepakatan lain yang dipersetujui bersama di bawah Trilateral Cooperation Agreement antara ketiga-tiga negara juga dilaksanakan Malaysia dan ATM.

Tegasnya, bagi memperkukuhkan lagi keselamatan kawasan maritim di Pantai Timur Sabah khususnya, ATM juga sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi keselamatan lain dari Malaysia iaitu Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Pasukan Gerakan Marin Polis Diraja Malaysia (PGM-PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Ini merupakan manifestasi komitmen padu Malaysia dan ATM bagi memperkukuhkan keselamatan kawasan maritim melangkaui kesepakatan kerjasama yang dipersetujui ketiga-tiga negara melalui Trilateral Cooperation Agreement.

“ATM sentiasa komited untuk memastikan kesepakatan rondaan secara bersama antara Malaysia, Indonesia dan Filipina dilaksana sepenuhnya termasuk meneruskan kerjasama dengan pelbagai agensi keselamatan lain dari Malaysia untuk memperkukuhkan keselamatan kawasan maritim di Laut Sulu dan Pantai Timur Sabah,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas