Berita

Penahanan 15, 876 pesalah komersial antara rekod kejayaan PDRM tahun lalu

- Diterbit 23 Januari 2020 6:42 AM MYT

PUTRAJAYA – Penahanan 15, 876 individu menerusi 17,582 operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) antara kejayaan yang direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang tahun lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, JSJK juga Berjaya menyelesaikan 21,016 daripada 26,465 kertas siasatan yang dikendalikan.

Ujar beliau, sepanjang 2019 juga, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Berjaya mengurangkan kadar jenayah indeks sebanyak 249 kes berbanding sasaran sebanyak 269 kes, bagi setiap 100,000 penduduk, iaitu penurunan sebanyak 7.5 peratus.

“Berdasarkan statistik, sebanyak 79 peratus kadar penyelesaian kes berjaya dicapai. Bagi Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) pula, sebanyak 1,665 operasi melalui Op Bersepadu dijalankan, berbanding 961 operasi pada tahun sebelumnya dengan peningkatan sebanyak 73.3 peratus.

“Daripada keseluruhan 101,404 operasi yang dilancarkan, seramai 3,086 orang ditangkap atas pelbagai kesalahan trafik dan 296 orang atas kesalahan-kesalahan lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Abdul Hamid, JSPT juga berjaya menyelesaikan kes-kes di jalan raya yang ditularkan orang ramai antaranya kejadian langgar lari, ‘road bully’, ‘road rage’, pemandu mabuk dan di bawah pengaruh dadah.

Tegasnya, dalam usaha mentransformasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) agar kekal relevan bagi membanteras dan memerangi dadah, sembilan jenis operasi khusus telah diatur gerak, dan diperteguhkan dengan program Naziran By Night serta program Nurture For Betterment ke arah Malaysia bersih dadah.

“JSJN sekali lagi melakar sejarah besar, apabila berjaya membuat rampasan berskala mega, dalam Pp Eagle pada 10 september 2019, dengan nilai rampasan sebanyak 12 tan dadah jenis kokain yang bernilai RM2.4 bilion di Pulau Pinang,” jelasnya.

Menyentuh isu salah laku warga PDRM yang terlibat dengan dadah, Abdul Hamid berkata, menerusi Op Blue Devil di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, seramai 268 orang pegawai dan anggota ditangkap manakala bagi tempoh 1 hingga 17 Januari tahun ini pula, seramai sembilan warga PDRM ditangkap kerana ujian saringan awal air kencing positif dadah.

Sehubungan itu, katanya, diharapkan, isu dadah dapat dicantas secara habis-habisan dalam kalangan warga PDRM demi maruah institusi keramat ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan syabas kepada pihak JSJN atas usaha berterusan dalam menjalankan ujian saringan urin berkala dan pemeriksaan urin mengejut ke atas warga pasukan.

“Adalah diyakini, usaha tersebut dapat mengurangkan penglibatan warga polis dengan jenayah dadah. PDRM juga tidak ketinggalan untuk turut menabur jasa kepada negara melalui bidang sukan walaupun terikat dengan tugas hakiki yang mencabar.

“Agensi ini melahirkan ramai atlet berprospek emas dan legenda sukan yang disegani yang mana pada 2019, seramai 24 atlet terdiri daripada empat pegawai dan 20 anggota PDRM terpilih untuk menyertai kontinjen Malaysia dalam Sukan SEA ke-30, Manila, Filipina.

“Lebih membanggakan, atlet-atlet harapan itu juga mengharumkan nama pasukan dan negara apabila berjaya membawa pulang lima pingat emas, perak (tiga) dan gangsa (empat). Semoga PDRM dapat melakar kejayaan yang lebih besar pada tahun ini demi kemaslahatan masyarakat dan keselamatan negara,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas