WK2

Rohida sahut cabaran tugas lasak

ROHIDA berpengalaman luas dalam pengurusan kuda.
- Diterbit 14 Januari 2022 7:35 AM MYT

KEBIASAANNYA bidang lasak sering dipelopori oleh kaum lelaki namun tidak bagi Sarjan Mejar Rohida Deraman, 40, yang merupakan kakitangan wanita di Unit Berkuda Perbadanan Putrajaya (PPj).

Baginya dalam menguruskan kuda, tidak ada istilah tugas lelaki sahaja dan tidak sesuai dengan wanita. Menurutnya dalam situasi hari ini, golongan wanita lebih meminati tugas yang penuh cabaran.

Bercerita tentang pengalamannya dalam unit berkuda, Rohida dan salah seorang rakannya merupakan wanita pertama yang bersama unit ini sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2008.

“Ketika mula-mula penubuhan, pihak pengurusan membuka tawaran kepada anggota penguat kuasa yang ingin menyertai. Tanpa berfikir panjang saya terus menyahut cabaran tersebut.

“Sejujurnya saya memang seorang yang lasak dan kami berdua merupakan antara yang mengikuti latihan berkuda di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Biarpun agak asing dengan tugas baharu namun saya sangat teruja,” ujarnya.

ROHIDA

Turut melakukan rondaan berkuda selama beberapa tahun sebelum bertukar ke bahagian pentadbiran, Rohida mengakui banyak pengalaman berharga yang berjaya dikutipnya sepanjang tempoh tersebut.

“Saya pernah terjatuh daripada kuda ketika sesi terapi kuda di pantai. Setiap tahun kuda-kuda ini akan dibawa mandi laut. Bagi kuda yang tidak pernah ke laut, ia akan mudah teruja apabila melihat kawasan yang luas.

“Masa itu, kuda tersebut nak lari, puas saya cuba tenangkan tetapi tidak berjaya. Masa kuda tersebut dalam percubaan untuk lari, kaki saya tersangkut dan jatuh. Biarpun patah kaki namun saya tidak pernah serik,” ujarnya lagi.

Berkongsi kisah tentang haiwan ini, menurutnya sejauh mana kuda lari, pasti ia akan kembali kepada rakan-rakannya kerana ia merupakan haiwan yang agak penakut.

“Jangan risau, ia akan kembali biarpun terlepas jauh. Itu pengalaman saya ketika menguruskan kuda,” ujarnya yang sempat menitipkan pesan kepada kaum wanita agar melakukan persediaan mental dan fizikal jika ingin menyertai unit berkuda. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas