Berita

Iltizam politik kerajaan penting dalam perundingan media-big tech

- Diterbit 26 Julai 2023 12:07 PM MYT

ILTIZAM politik ditunjukkan kerajaan penting dalam perjuangan organisasi media tempatan mendapatkan pampasan atau bayaran adil daripada syarikat gergasi teknologi atau big tech untuk kandungan berita dalam talian.

Pengerusi Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Dr Chamil Wariya yang menyambut baik kesediaan kerajaan menjadi pemudah cara membantu perundingan dengan syarikat gergasi teknologi berkata organisasi media pada masa sama perlu bersatu padu dalam isu berkenaan.

“Iltizam politik kerajaan adalah penting dalam perjuangan ini, kalau tidak, memang big tech akan anggap remeh usaha media tempatan untuk dapatkan pampasan yang setimpal bagi kandungan yang mereka gunakan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berpendapat perundangan juga perlu dirangka seperti News Media Bargaining Code di Australia dan Online News Act di Kanada untuk membantu proses perundingan.

Semalam dilaporkan kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bersedia menjadi pemudah cara bagi membantu perundingan organisasi media tempatan dalam mendapatkan pampasan atau bayaran adil daripada syarikat gergasi teknologi.

Menteri berkenaan Fahmi Fadzil berkata sekiranya perlu, sebuah kerangka perundangan boleh diperkenalkan bagi melicinkan perundingan tersebut.

Dalam pada itu, Ketua Pengarang Sinar Harian Zamri Rambli berkata perbincangan mengenai bayaran setimpal dan adil kepada media tempatan sudah dibincangkan dalam kalangan media menerusi Persatuan Penerbit-Penerbit Akhbar Malaysia (MNPA) tidak lama dahulu, namun ia tidak cukup kuat tanpa sokongan kerajaan serta akta yang mewajibkan gergasi teknologi berbuat demikian.

Beliau berkata organisasi media juga menjangkakan tekanan daripada syarikat gergasi teknologi seperti yang dialami media di Australia.

“Mereka mendapat pelbagai tekanan seperti berita yang dihasilkan akan dihadkan siaran di media sosial gergasi media ini. Kerana itulah syarikat media Malaysia perlu bersatu hati dan teguh bersama-sama sampai berjaya seperti media Australia,” katanya.

Pengarah Urusan/ Editor Media Kumpulan Mulia Sdn Bhd Mohamad Azlan Jaafar berkata pencipta kandungan dan industri media terus mengalami kemerosotan hasil meskipun memiliki harta intelek atas kandungan itu.

“Industri media berdepan masa depan yang gelap jika tiada tindakan diambil,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas