Fokus

Ikan bilis ikon produk Labuan

IKAN bilis yang kering akan berubah warna kepada warna kuning keemasan.
- Diterbit 18 Disember 2019 9:56 PM MYT

UMUM sedia maklum, perusahaan ikan bilis di Labuan pastinya dimonopoli kaum Cina. Oleh itu, perusahaan ikan bilis yang mengikut syariah dan diyakini halal sentiasa dicari warga setempat serta pengunjung dari Semenanjung yang melawat pulau itu.

SABTU

Menyedari kekangan itu, Sabtu Awang Aminah mula menceburi bidang perniagaan tersebut dan membuka perusahaan sendiri di Kampung Bebuloh Laut.

“Saya mempunyai bot sendiri dan hasil tangkapan sebagai nelayan dulu adalah ikan kayu serta ikan putih. Perancangan nak buka kilang pemprosesan ikan bilis ini adalah secara automatik dan selepas mempunyai permintaan,” katanya kepada WK2 baru-baru ini.

PEKERJA melakukan pengasingan ikan bilis mengikut saiz untuk digredkan.

Perniagaan yang dikenali sebagai Salinang Maju Enterprise itu mula ditubuhkan pada 2015. Bukan hanya membekalkan, Sabtu turut memproses serta menjual hasil produknya di kilang pemprosesan yang dibina bersebelahan rumahnya.

“Perusahaan saya baru bermula empat tahun. Perniagaan produk ikan bilis di sini bermula daripada kaum Cina, oleh itu saya ikut macam mana mereka buat produk itu.

“Masa mula-mula mengusahakannya memang susah sebab saya tidak tahu di mana nak jual produk yang dihasilkan.

“Syukur ada anak-anak yang tahu selok belok media sosial. Mereka yang memasarkannya secara atas talian sehingga mendapat permintaan yang tinggi dan dikenali,” ujarnya.

NELAYAN membawa pulang ikan bilis yang berjaya ditangkap setiap hari.

Menurut Sabtu, ikan bilis yang diperoleh adalah hasil tangkapan saudara maranya sendiri. Ujarnya, hasil tangkapan sebulan adalah sekitar dua hingga tiga tan manakala bagi hasil kering adalah 400 hingga 500 kilogram sehari.

Katanya, ikan yang dikeringkan atau dijemur akan diproses serta dikategorikan mengikut jenis dan gred.

“Jenis ikan yang kita ada adalah ikan tamban, ikan kekek dan ikan bilis. Bagi ikan bilis pula, kita ada gred A, B,C dan siap dikopek. Ia dikategorikan mengikut saiz kepanjangan.

“Kesemua ikan ini dipilih dan digredkan selepas kering supaya ia tidak rosak,” jelasnya yang kini telah menembusi pasaran di Kuching dan Miri, Sarawak serta seluruh Semenanjung Malaysia dan memperoleh hasil sekitar RM20,000 hingga RM30,000 sebulan.

PROSES membungkus ikan bilis dilakukan dengan teliti dan kemas.

Selepas mendapat permintaan tinggi daripada semua pihak termasuk pengunjung dari Semenanjung, Sabtu mula menghasilkan produk baharu berasaskan ikan bilisnya.

Katanya, idea untuk menghasilkan produk baharu diperoleh daripada pengunjung kilangnya yang sering bertanya produk apa lagi yang dijual.

Tambahnya, ekoran itu, anaknya mencipta produk sambal garing yang menggunakan ketiga-tiga jenis ikan berkenaan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas