Personaliti

Tiada jalan pintas bagi Amalina

- Diterbit 19 Disember 2019 5:06 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]

TANYA sahaja kepada mana-mana wanita, pasti semuanya mengimpikan tubuh badan yang cantik dan langsing. Malah ada yang sanggup melalui jalan singkat dengan mengambil ubat kurus untuk mencapai impian itu.

Sungguhpun menyedari ia akan membawa kesan buruk kepada tubuh badan namun ada segelintir wanita tetap berdegil dan mempercayai lambakan ubat-ubat kurus yang ada di pasaran.

Berbeza dengan Amalina Hisham­ yang percaya bahawa tiada jalan pintas untuk kurus melainkan dengan melakukan rutin senaman secara konsisten.

“Kebanyakan individu hanya menginginkan tubuh yang kurus tanpa memikirkan faktor kesihatan. Jadi ramai yang berjaya kurus namun tidak sihat,” ujarnya.

Amalina yang merupakan model sambilan berkata, dia aktif mengikuti kelas senaman setiap minggu dengan bantuan jurulatih profesional.

Jelasnya, disiplin adalah perkara paling penting untuk memastikan misi menjaga ke­sihatan tubuh badan berjaya dicapai.

“Mungkin kerjaya sebagai model sambilan membuatkan saya tekad untuk berusaha keras bagi mencapai berat yang ideal,” ujarnya.

Malah menurut anak kelahiran Gombak, Selangor ini, pemergian rakan karibnya akibat masalah obesiti menjadikannya lebih prihatin terhadap senaman dan pola pemakanan sihat.

Dengan ketinggian 168 senti­meter dan berat 52 kilogram, Amalina berjaya mengekalkan berat badan yang ideal.

“Saya sering tampil sebagai model dalam iklan televisyen, jadi tubuh badan yang langsing amat penting kerana kita akan terlihat lebih besar di kaca televisyen berbading realiti,” ujarnya.

Wanita jelita ini aktif dalam bidang peragaan dan pernah muncul dalam program serta iklan seperti Go Shop, Petronas Kad Mesra, KFC, video viral Jom Kahwin 2018, Digi dan sebagainya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas