Selera

Selera Melayu di ‘Little India’

DUA unit gerai Pak Ngah yang menyediakan masakan panas dan juga air.
- Diterbit 13 Disember 2019 8:48 AM MYT

BRICKFIELDS terkenal dengan jolokan ‘Little India’ malah bekas Perdana Menteri India, Manmohan Singh telah melawat kawasan itu pada 28 Oktober 2010 ketika lawatan kerjanya ke negara ini.

Little India semestinya menjadi tumpuan kaum India lebih-lebih lagi ketika menjelang perayaan Deepavali setiap tahun.

Selain itu, kewujudan prasarana yang canggih melalui pembinaan Kuala Lumpur Sentral yang digunakan sebagai hub pengangkutan awam di bandar raya ini menjadikan kawasan ini lebih pesat membangun.

DAGING goreng masak cili api.

Dengan pembangunan ini, Brickfield tidak lagi ‘dimiliki’ kaum India sahaja, ia turut dikunjungi orang Melayu dan Cina selain warga asing yang bekerja di kawasan sekitar.

Walaupun kebanyakan kawasan ini dipenuhi dengan deretan kedai dan gerai yang menghidangkan masakan India ataupun mamak, di sini juga dipenuhi kafe-kafe moden dan hipster yang sesuai dengan kepesatannya.

Bagaimanapun, di medan selera kompleks tempat letak kereta (TLK) di sini, terdapat sebuah kedai yang menawarkan masakan Melayu. Bagi Rosni Zain, 65, pemilik gerai makan Pak Ngah, beliau berniaga di medan selera itu sejak ia mula dibuka pada 2017 lalu.

“Sebelum berpindah ke medan selera ini, saya telah berniaga makanan di Lorong Chee Ah Fong dalam kawasan Brickfields sejak 1988. “Dan sejak dari itu, sudah empat kali berpindah kawasan akibat pembangunan sehingga yang terakhir di medan selera ini,” katanya ketika ditemui Wilayahku baru-baru ini.

Menurut Rosni, antara menu yang mendapat permintaan daripada pelanggan adalah daging goreng cili padi dan ayam cincang goreng cili padi.

SUP tulang yang sesuai untuk dua orang makan.

“Menu ini merupakan rekaan sendiri dan ia sering mendapat permintaan daripada pelanggan tetap yang sering berkunjung ke sini.

“Menu ini dibuat menggunakan daging lembu yang dihiris nipis, kemudian digoreng dengan daun kari dan juga dicampur cili api,” katanya.

Rasanya garing dan pedas dan ia dihidangkan dengan nasi putih, saiz hidangan juga amat memuaskan kerana untuk satu hidangan boleh dikongsi untuk dua orang makan malah harganya hanya RM8.

Selain itu, di gerai ini turut dijual menu Char Kuetiau. Menariknya, menu ini dihidangkan dengan udang bersaiz besar sebanyak tiga ekor dan kerang yang bersaiz besar tetapi harga yang dijual hanyalah RM7 sahaja.

Di gerai ini juga, Sup Tulang ala-thai wajib dicuba. Walaupun ia merupakan menu yang biasa dan terdapat di mana-mana, namun kelainan hidangan ini adalah ‘portion’ yang banyak kerana boleh dimakan untuk dua orang. Harga hidangan pula hanyalah RM10 semangkuk.

Selain itu, disini juga turut menghidangkan masakan panas dan menu ala-thai seperti di tempat lain seperti aneka Nasi Goreng, Mee Goreng dan pelbagai lagi.

Sekiranya anda ‘tersesat’ ke kawasan ini, jangan khuatir untuk mencari tempat makan yang ‘kena’ dengan selera anda kerana di sebalik ‘Little India’ ini masih ada tempat untuk selera orang melayu.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas