Selebriti

Identiti itu suatu yang mahal

PROJECTOR BAND
- Diterbit 30 Ogos 2019 2:49 PM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]

TIGA tahun berkecimpung dalam industri muzik, kumpulan popular Projector Band percaya identiti merupakan suatu perkara yang penting bagi memastikan mereka kekal relevan dalam dunia nyanyian.

Malah setiap anggota juga mengakui bukan mudah untuk bertahan dan kekal popular apatah lagi untuk meniti arus turun naik lebih-lebih lagi dengan kemunculan band-band baharu yang silih berganti.

Namun bagi Iskandar Zulkarnain Shafin, 26, (vokalis); Razif Zainuddin, 27 (gitaris); Muhammad Safiq Zainuddin, 25, (dram); Zainal Amir Hamzah, 24, (gitaris kedua) dan Ahmad Khusairi Shaferi, 29, (bass) identiti slow rock tetap menjadi pilihan mereka.

Menurut Iskandar, jika dilihat pada tahun ini, dunia hiburan lebih didominasi oleh muzik hip hop namun itu bukanlah bermakna genre selain itu terus dipandang sepi. Baginya setiap peminat memiliki cita rasa yang berbeza.

“Ia adalah satu saingan yang sihat dalam industri. Jika tiada kepelbagaian, sudah tentu tidak menarik. Malah saya percaya sesebuah lagu yang dihasilkan pasti mempunyai penggemar yang tersendiri.

“Secara jujurnya saya lihat peminat sudah pun mengenali kami dengan identiti sebegitu. Jadi selagi lagu-lagu yang dihasilkan orang boleh dengar, saya rasa tiada masalah untuk terus memperjuangkan genre tersebut,” ujarnya.

Pun begitu menurutnya lagi, mereka juga ada mengeluarkan irama lain seperti pop rock dan rapper seperti single terbaharu berjudul Cinta Kita. Ternyata sambutan yang diterima dalam kalangan peminat juga amat menggalakkan.

“Lagu-lagu berentak lain juga perlu untuk kepelbagaian dalam konsert atau persembahan Projector Band. Setakat ini, apa sahaja buah tangan yang kami keluarkan, peminat sentiasa merestui.

“Single Cinta Kita telah mencecah lebih 1 juta tontonan di YouTube. Ia adalah kesinambungan daripada lagu Aishah yang pernah popular dua tahun lalu. Kini kami juga sedang giat mempromosikannya dan Alhamdulillah maklum balas yang diterima juga sangat positif,” kata Iskandar.

Kumpulan yang pernah mencetus fenomena dengan pengaruh yang cukup besar dalam industri hiburan negara menerusi lagu Sudah Ku Tahu ini bakal melancarkan single ke lapan, Akhirnya Ku Tahu pada akhir tahun
ini.

Hubungan akrab

Ternyata hubungan yang terjalin antara setiap anggota kumpulan ini boleh diibaratkan seperti adikberadik. Malah mereka sentiasa mengambil berat antara satu sama lain biarpun jarang bersua muka kerana kekangan masa.

Menurut Razif, disebabkan setiap daripada mereka sibuk dan hanya berjumpa sesekali jadi kesempatan yang ada digunakan sebaiknya untuk mengenali karakter masing-masing untuk mewujudkan keserasian.

“Kadang-kadang kami hanya bertemu setiap kali bila hadir ke studio untuk latihan sahaja namun sesekali berjumpa kami akan berborak seperti sebuah keluarga. Di situ juga kami akan kongsi tentang muzik, hal peribadi dan sebagainya,” ujarnya.

Tidak menafikan pergaduhan adalah lumrah dalam sesebuah band, bagi Razif apa sahaja perasaan tidak puas hati antara mereka akan cepat diselesaikan sebelum ia menjadi besar dan lebih buruk lagi.

“Alangkan dalam keluarga sendiri juga kita terasa hati inikan pula dengan kawan. Apapun kami semua terbuka untuk menerima segala kritikan asalkan ia untuk kebaikan diri. Paling penting jangan sesekali simpan dalam hati,” ungkapnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas