Artikel

Tok Wan Grill hidang masakan ala Amerika

MOHD. RABANI menunjukkan antara menu yang disediakan di restorannya.
- Diterbit 30 Ogos 2019 3:13 PM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

AROMA daging panggang yang diperap bersama sos istimewa pastinya memikat sesiapa sahaja yang singgah di restoran Tok Wan Grill. Lebih menyelerakan apabila kepingan hirisan daging panggang tersebut tetap empuk dan tidak liat serta rasa ‘kebasahan’ ketika dikunyah.

Dicicah dengan sos buatan sendiri yang terhasil daripada campuran gula perang, cuka epal dan beberapa bahan lain serta ditambah hirisan bawang Holland, hidangan yang disediakan di restoran yang terletak di Presint 11, Putrajaya ini sentiasa mendapat sambutan.

Keenakan rasa diteruskan dengan sajian pembuka selera Nachos. Menggunakan roti tortilla yang dipanggang rangup dan ditambah (topping) dengan cili Jalapeno, keju mozarella, ayam dadu dan cili benggala serta dicicah dengan krim masam, rasa asli nachos pastinya membuatkan pengunjung leka menikmatinya.

Diselang-seli sedutan air strawberi magarita atau tok wan shakes, sentuhan rasa ala Barat di restoran ini sememangnya tiada tandingan.

Tambahan pula tok wan shakes yang disajikan menggunakan ais krim dan tidak seperti restoran lain yang menggunakan ketulan ais dikisar bersama perasa.

Menyajikan rasa ala Barat yang berkonsepkan Amerika, Tok Wan Grill mementingkan kesegaran dan kebersihan dalam masakannya. Justeru, daging dan sayuran yang digunakan semestinya dititikberatkan malah antara berat kepingan daging yang digunakan adalah 200-250 gram serta diimport khusus dari Australia.

Menurut pemiliknya, Mohd. Rabani Shamsul Khairil, perniagaan yang mula dibuka pada 15 Julai tahun lalu merupakan inspirasi daripada bapanya.

Enggan menjadi seperti pemilik restoran lain yang ‘meMalaysiakan’ setiap hidangan Barat, anak muda berusia 28 tahun ini mahu memperkenalkan rasa asli panggang atau grill Amerika kepada rakyat negara ini khususnya warga Putrajaya.

Menceritakan pengalaman semasa memulakan perniagaan, dia juga tidak lekang daripada cadangan dan komen pelanggan yang mahukan hidangan ala Baratnya menepati rasa penduduk Malaysia yang lebih kepada gabungan rencah masin, manis, lemak manakala salad pula dihidang bersama mayonis.

“Pada mulanya, hendak letak nama Uncle Sam tetapi selepas beberapa kajian dilakukan dan sesuai dengan masyarakat Malaysia, saya menggunakan nama Tok Wan dan ia selari dengan panggilan cucu kepada ayah.

“Saya juga belajar dalam bidang seni kulinari serta menyambung pengajian
yang sama di peringkat Ijazah Sarjana Muda selama tiga tahun di Australia. Sejak itu, saya sudah rancang untuk membuka restoran yang menyajikan hidangan asli ala Barat.

“Apa yang ditekankan di restoran saya adalah, makanan yang disajikan mesti bersih dan boleh dikatakan antara makanan berkhasiat. Saya tidak menggunakan minyak seperti hidangan ala Barat di negara kita yang lain, chicken chop mereka digoreng,” katanya yang juga berkemahiran menghasilkan pelbagai jenis sos buatan sendiri.

Impian

Seperti anak muda yang lain, pemilik Tok Wan Grill ini juga mahu membuka cawangan baharu selepas restoran pertamanya mendapat tempat di hati warga Putrajaya dan ‘kaki makan’.

Menyasarkan tahun hadapan, Mohd. Rabani atau lebih dikenali sebagai Rabani Khairil mahu restoran miliknya menyajikan hidangan panggang istimewa dari seluruh pelosok dunia.

“Saya nak sediakan menu grill dari semua tempat di Nusantara, ketengahkan keunikan rasa Asia tetapi fokus hanya pada hidangan panggang,’’ katanya yang berhasrat membuka cawangan baharu di Cyberjaya atau Bangi, Selangor.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas